EKONOMI

Rasionalisasi Ron95 Dijangka Beri Impak Lebih Besar Kepada Pks - Samenta

16/07/2024 03:31 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menjangkakan rasionalisasi RON95 akan memberi impak yang lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding pelarasan subsidi diesel. 

Presidennya Datuk William Ng menyuarakan kebimbangan itu kerana kebanyakan kenderaan termasuk kenderaan komersial akan terlibat dengan pelarasan tersebut yang seterusnya boleh mengurangkan kuasa beli pengguna.

“Saya rasa secara umumnya, PKS belum bersedia untuk pengurangan ataupun pemansuhan subsidi RON95. 

“Oleh itu, kita minta kalau boleh kerajaan jangan mansuhkan subsidi RON95 ini sekali gus dan (sebaliknya) dibuat secara berperingkat supaya PKS dapat membiasakan diri dan menyerap kenaikan kos kepada operasi,” katanya kepada media selepas sesi perbincangan mengenai ‘Cabaran dan Peluang bagi PKS Malaysia dan Industri Runcit, disini, hari ini. 

Ng berkata sekiranya kerajaan melaksanakan rasionalisasi RON95 secara terus, ia akan memberi kesan dan menyebabkan kenaikan harga barangan yang dijangkakan sekitar 30 peratus hingga 50 peratus. 

“Kos input dari segi bahan mentah, sewa dan upah, tiga kos teratas dalam sektor makanan dan minuman (F&B), misalnya, telah meningkat antara 40 peratus hingga 70 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Jika kerajaan mahu terus melaksanakannya dengan segera, peruncit tidak akan dapat menyerap sepenuhnya dan kos antara 30 hingga 50 peratus ini secara umumnya akan terpaksa disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, PKS merangkumi 97.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan di negara ini, iaitu kira-kira 1.2 juta syarikat.

Pada 12 Julai lepas Kementerian Ekonomi berkata kerajaan pada masa ini masih sedang meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat. 

Kementerian itu menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.

Sementara itu mengenai Belanjawan 2025, Ng berkata, PKS memerlukan bantuan kewangan bagi tujuan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 

“Pada Belanjawan 2024, kerajaan memutuskan untuk menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan itu memberi impak yang agak besar kepada PKS secara amnya terutamanya kepada pemampatan margin,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan