AM

Rm2.5 Juta Untuk Angkasa Laksana Program Pembangunan Dan Pendidikan

16/07/2024 04:05 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM2.5 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bagi pelaksanaan program pembangunan perniagaan koperasi tahun ini.

Dana RM2 juta untuk program pembangunan perniagaan dan RM500,000 untuk Tabung Pendidikan Angkasa itu diserahkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick kepada Presiden Angkasa Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam satu majlis di sini hari ini.

Dalam kenyataan sempena majlis tersebut, Ewon berkata RM2 juta itu adalah untuk membantu koperasi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan jaringan perniagaan.

“Dana itu juga bertujuan memasarkan produk secara dalam talian atau fizikal untuk pasaran domestik dan antarabangsa. 

“Saya berharap program pembangunan perniagaan koperasi melalui Angkasa ini dapat membantu mendapatkan sijil halal dan program pembangunan lain seperti pemerkasaan peniagaan, intervensi perniagaan koperasi dan pendigitalan koperasi,” katanya.

Beliau berkata dana RM500,000 kepada Tabung Pendidikan Angkasa pula bakal memberikan manfaat kepada 141 pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Dana itu bertujuan memberikan kemudahan untuk membina dan meningkatkan taraf pendidikan komuniti koperasi. 

“Kemudahan pembiayaan pendidikan boleh ubah ini disediakan kepada anggota koperasi, anak anggota koperasi dan kakitangan koperasi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah di dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan