AM

KAUNTER BAYARAN SAMAN TRAFIK ANTARA TUMPUAN RAMAI DI MAJLIS PELANCARAN BULAN KBANGSAAN

21/07/2024 03:24 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini, menjadi antara tumpuan utama ramai hari ini.

Setakat pukul 1.30 tengah hari, pengunjung masih lagi beratur panjang untuk melunaskan saman trafik masing-masing walaupun dalam keadaan cuaca panas terik.

Tawaran tersebut yang bermula dari 9 pagi hingga 4.30 petang ini turut menarik perhatian ahli perniagaan S.Selvarajah, 72, yang datang untuk membayar satu saman trafik milik saudaranya.

"Ia sangat membantu apabila kerajaan menganjurkan program seumpama ini bagi memudahkan orang ramai membayar saman," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Seorang peniaga dalam talian Nursyikin Samad, 45, yang  beratur sejak 8.30 pagi bagi merebut tawaran diskaun itu berkata, penyediaan tawaran sebegini memudahkan urusannya untuk membayar saman dengan segera.

"Tawaran ini memang baik tetapi masa beratur menunggu giliran tu agak lama, dan dalam cuaca panas ini ia agak sukar untuk saya berdiri lama," katanya yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu ahli perniagaan Cheng Zhe Tiong, 34, yang turut ditemui semasa beratur untuk membayar saman berpendapat, inisiatif PDRM ini harus dilaksanakan dengan lebih kerap di setiap daerah atau negeri.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat, dijadual dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini merupakan wadah untuk terus menyuburkan semangat kenegaraan dan patriotisme. 

Majlis ini adalah bagi memulakan kiraan detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dan pelbagai program yang diadakan sepanjang bulan kebangsaan di laman sesawang www.merdeka360.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan