POLITIK

NIZAR NAJIB NAFI CUBA JATUHKAN KERAJAAN PAHANG

23/07/2024 03:28 PM

KUANTAN, 23 Julai (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau cuba menjatuhkan Kerajaan Pahang menerusi perjumpaan dengan pemimpin pembangkang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu berkata beliau sama sekali tidak akan mengkhianati kerajaan negeri diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

"Beliau (Wan Rosdy) juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya (Pekan).

“Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati,  mana mungkin saya seorang Exco dan ADUN tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.

"Ayahanda Datuk Seri Najib Razak selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita supaya setia kepada parti. 

“Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nizar menegaskan beliau bukan seorang 'katak politik' yang sanggup menggadai prinsip dan maruah serta menjual diri kepada mana-mana pembida yang tinggi. 

“Cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan. Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama UMNO Barisan Nasional dan kerajaan negeri yang ada sekarang," katanya. 

 Tular di media sosial dakwaan Mohamad Nizar mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pembangkang Pahang untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan