EKONOMI

KOMPLEKS SARAWAK PETCHEM PERKUKUH KEDUDUKAN MALAYSIA SEBAGAI PENGELUAR UTAMA METANOL DI ASIA PASIFIK

24/07/2024 08:25 AM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Penubuhan kompleks metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd bernilai RM7 bilion merupakan satu pencapaian penting untuk membantu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar metanol utama di rantau Asia Pasifik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Ia bukan sahaja memajukan keupayaan Malaysia dalam industri kimia seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 (CIR 2030) tetapi juga memacu penciptaan pekerjaan dan merangsang ekonomi Malaysia dengan menawarkan peluang kepada industri serta perusahaan kecil dan sederhana, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian penting oleh Sarawak Petchem itu merupakan bukti daya tarikan Malaysia sebagai destinasi untuk pelaburan berskala besar dan berimpak tinggi.

“Semua ini adalah permulaan…dalam menuju Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan CIR 2030, kami komited untuk memacu penambahan produk bernilai tinggi dan mempelbagaikan kepada produk nilai tambah yang lebih tinggi, ia akan memacu ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata projek itu akan menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan selanjutnya di rantau ini dan memberi jaminan bahawa MIDA akan terus memberikan kemudahan yang diperlukan kepada Sarawak Petchem bagi memenuhi sasaran syarikat untuk menjadi entiti terkemuka dalam industri petrokimia global.

Pengerusi Petchem Sarawak Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain pula berkata projek itu akan memangkin lebih banyak pembangunan ekonomi di rantau ini, memacu penciptaan pekerjaan, memupuk pertumbuhan mampan dan meletakkan Sarawak secara strategik sebagai pemain utama dalam industri petrokimia global.

“Penubuhan Sarawak Petchem juga menyediakan platform untuk Sarawak membangun dan menarik tenaga kerja mahir untuk datang dan bekerja di Sarawak malah ada sebilangan rakyat Sarawak telah kembali bekerja dengan Sarawak Petchem untuk menyiapkan projek ini,” katanya.

 Dalam pada itu, MIDA berkata kompleks metanol Sarawak Petchem yang dilancarkan di Tanjung Kidurong, Bintulu itu dijangka akan memacu pelaburan seterusnya dan merangsang pengeluaran produk hiliran lain.

Projek penting berkenaan dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.75 juta tan akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeluar metanol kedua terbesar Malaysia selepas Petronas Chemicals Group Bhd, katanya.

Metanol adalah bahan mentah kritikal untuk penghasilan bahan kimia seperti asid asetik dan formaldehid, yang penting dalam industri termasuk pelekat, pelarut dan ‘foam’ (buih).

Menurut MIDA, kompleks metanol itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sarawak untuk mewujudkan Bintulu sebagai hab petrokimia di wilayah itu.

Kilang berkenaan akan memerlukan kakitangan mahir, kebanyakannya jurutera, juruteknik, pengendali dan pakar untuk mengawasi operasinya dan juga akan ada peluang lain daripada operasi kilang itu termasuk perkhidmatan dan penyelenggaraan.

MIDA berkata Malaysia menjadi tuan rumah kepada industri petrokimia yang penting, terdiri daripada lebih 100 syarikat yang mengeluarkan pelbagai rangkaian produk kimia.

Ia berkata pelaburan asing di Malaysia telah meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini, didorong oleh aksesnya kepada sumber minyak dan gas, infrastruktur luas, sektor perkhidmatan kukuh dan lokasi geografi strategik yang memenuhi pasaran penting di Asia dan Timur Tengah.

“Pengeluaran petrokimia Malaysia pada masa ini memberi tumpuan kepada olefin, polimer dan aromatik dengan rancangan bercita-cita tinggi untuk maju ke dalam industri bahan kimia khusus yang lebih canggih melangkaui komoditi asas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan