DUNIA

GTA PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI RAKAN KONGSI SAFRAN HELICOPTER

24/07/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Global Turbine Asia (GTA) telah memeterai kontrak lanjutan selama tiga tahun melalui perjanjian pusat penyelenggaraan yang diperakui (CMC) dengan Safran Helicopter Engines, meneruskan kejayaan usaha sama 14 tahun dengan pengeluar peralatan asal yang terkemuka dari Perancis itu.

GTA merupakan pembekal perkhidmatan baik pulih, penyelenggaraan dan pembaikan (MRO) serta jentera bebas bagi enjin ketenteraan dan awam di Asia Pasifik. 

"Pelanjutan perjanjian itu menggariskan komitmen GTA untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pusat MRO terulung di Malaysia membabitkan enjin turbin helikopter,” kata syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini.

Pelanjutan kontrak itu ditandatangani semasa Pameran Udara Farnborough 2024 di United Kingdom.

Sepanjang 14 tahun lepas, GTA telah membangunkan keupayaan teknikal yang mantap, membolehkannya melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dalam negara sehingga Tahap 3 merangkumi pelbagai jenis enjin.  

Sejak pemeteraian perjanjian CMC kali pertama antara Safran Helicopter Engines dan GTA, ia telah membolehkan GTA memasarkan dan mengukuhkan posisi Safran Helicopter Engines sebagai peneraju pengeluar enjin turbin helikopter di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan