EKONOMI

SELANGOR SASAR PENYUMBANG PELABURAN TERBESAR NEGARA TAHUN INI - AMIRUDIN

25/07/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Selangor meneruskan fokus untuk mengekalkan prestasi sebagai negeri penyumbang pelaburan terbesar di negara ini menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata bagi suku pertama tahun ini, Selangor berada di kedudukan ketiga dengan pelaburan sebanyak RM12 bilion, manakala di tempat kedua dengan pelaburan RM55 bilion bagi keseluruhan tahun lepas.

“Oleh itu, sasaran kali ini untuk mengekalkan jumlah pelaburan besar dan mencipta peluang ekonomi yang signifikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas perasmian SIBS 2024 edisi kelapan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kementerian lain untuk melibatkan negeri itu dalam program yang akan membawa manfaat kepada ekonomi Selangor.

“Berikutan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada 2025, Selangor bersedia untuk menyokong kerajaan dan MITI melalui apa-apa pendekatan sesuai,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, negara Asean harus membina kepercayaan dan komited menerusi perkongsian matlamat teknologi untuk mengukuhkan kerjasama antara negara berkenaan.

“Asean seharusnya tidak lagi menjadi rantau, dengan pemain utama yang melihat di luar daripada hab pembuatan mereka untuk mengurangkan kos, tetapi sebagai peneraju inovasi dan mencipta teknologi sendiri untuk menangani cabaran besar pada masa ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan