FOKUS BERNAMA

Tukun LRT Bantu Promosi Pulau Tioman, Destinasi Utama Aktiviti Selam Skuba

01/08/2024 10:54 AM
Daripada Norhidayyu Zainal

Pulau Tioman merupakan antara destinasi selam skuba terbaik di negara ini yang menawarkan keindahan dasar laut tersendiri, antaranya laman selam Terumbu Harimau, Soyak, Tumok serta bangkai kapal KM Sipadan & Sawadee.

Dan kira-kira setahun dari sekarang, penggiat selam skuba akan berpeluang menyusuri laman selam baharu, dikenali Tapak Selam Al-Sultan Abdullah, susulan penenggelaman dua gerabak tren Aliran Transit Ringan (LRT) yang dilakukan di kawasan Monkey Bay pada 9 dan 10 Julai lalu.

Dua gerabak LRT yang dilabuhkan di dasar laut untuk dijadikan tukun - tapak terumbu karang - adalah yang pertama di negara ini, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Usaha tersebut yang dijalankan menerusi projek MBOR: First LRT Coach Reef In Malaysia anjuran Yayasan Al Sultan Abdullah (YASA) , turut menerima perkenan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran program di Berjaya Tioman Resort pada 13 Julai lepas. 

 

TARIK LEBIH RAMAI PELANCONG

Menurut Pengarah Program MBOR: First LRT Coach Reef In Malaysia Mohd Fakhrul Islam Juhali, pemilihan Pulau Tioman sebagai lokasi projek itu dibuat berdasarkan kekayaan persekitaran marinnya serta kedudukan pulau itu sendiri selaku destinasi pelancongan utama di Pahang.

“Pulau Tioman merupakan pulau terbesar dalam kumpulan sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman. Antara aktiviti yang popular di pulau ini ialah snorkeling dan selam skuba oleh kerana terumbu karangnya, selain daripada laluan pendakian yang membawa pelawat ke air terjun yang cukup menakjubkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program.

pic-2

Sehubungan itu, beliau berharap  pewujudan tapak selam baharu itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Misi ini bukanlah semata-mata untuk mengukir nama dalam rekod negara, tetapi diharap menjadi satu tarikan tersendiri, terutama kepada penggemar aktiviti selam skuba, sekali gus merancakkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Menurut beliau, projek melabuhkan dua gerabak itu bukan tugas mudah selain melibatkan ramai orang, termasuk 60 penyelam.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Program Noriqram Mod Nor berkata projek hanya dilaksanakan selepas mendapat pengesahan daripada pihak berwajib, termasuk Jabatan Perikanan Malaysia dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara.

Kerja-kerja melabuhkan gerabak dipantau dan diurus dengan teliti bagi memastikan semua garis panduan berkaitan keselamatan alam sekitar dipatuhi, selain komponen yang diturunkan itu dijamin selamat bagi hidupan marin.

“Tugasan ini bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan memerlukan kos yang tinggi. Jadi, kami berharap semua pelancong dan penyelam sama-sama bertanggungjawab menjaganya dan tidak melakukan sebarang vandalisme.

“Sebagai sebuah tukun rekreasi, ia mestilah kelihatan cantik. Justeru, kami memilih untuk mengekalkan nilai estetik (gerabak) sebaik mungkin, seperti tempat duduk, tiang dan besi pemegang serta telefon kecemasan,” katanya yang merupakan seorang daripada penyelam terlibat dalam projek itu.

 

CABARAN

Bercerita lanjut tentang inisiatif itu, Noriqram berkata proses mengangkut dua gerabak, masing-masing seberat lebih 20 tan  bersaiz 33.7 meter (m) panjang, 2.65 m lebar dan 3.44 m tinggi, dikendalikan oleh sebuah syarikat logistik berpengalaman menggunakan sebuah treler.

Perjalanan sejauh 395 kilometer bermula dari Depoh LRT Kelana Jaya, Selangor ke Kuala Rompin, Pahang, mengambil masa sehari sebelum gerabak dibawa ke Monkey Bay menggunakan tongkang.

“Selepas tiba di Kuala Rompin, dua gerabak ini dibersihkan dengan teliti bagi memastikan tidak ada bahan kimia berbahaya seperti gris yang tersisa. Kemudian, dua gerabak berserta sebuah kren seberat 80 tan itu diletakkan di atas tongkang untuk dibawa ke Monkey Bay. Pelayaran ke sana mengambil masa enam jam,” jelasnya.  

pic-3

Menurutnya, sepanjang perjalanan menggunakan tongkang, antara cabaran yang perlu dihadapi ialah apabila tongkang itu perlu melepasi sebuah jambatan yang menghubungkan Kuala Rompin dan Mersing (Johor).

Situasi itu katanya menuntut kepakaran pengendali tongkang agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Cabaran tidak berakhir di situ, kerana, untuk menurunkan gerabak terbabit ke dasar laut, pasukan penyelam perlu memastikan keadaan arus tenang dan cuaca pula baik.

“Dua gerabak itu diletakkan di atas platform yang diperbuat daripada paip besi diisi dengan simen, selain setiap sisi gerabak dipasang enam pemberat dua tan bagi memastikan keutuhan kedudukan tukun tersebut, iaitu tidak bergerak apabila dipukul arus.

“Proses menurunkan gerabak juga perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi memastikan kestabilan struktur,” katanya yang pernah menyertai operasi melabuhkan rangka kapal terbang ringan di Pulau Lang Tengah, Langkawi.

Menurutnya, proses pada hari kedua lebih kompleks, kerana penyelam perlu memasang alat bagi menyambung kedua-dua gerabak agar berada dalam kedudukan selari.

“Walaupun sudah mencuba sehabis baik, kedua-dua gerabak itu tidak dapat disambungkan kerana rupa-rupanya kawasan tapak itu sedikit berbukit. Jadi, kami hanya mengikat kedua-dua struktur dengan kabel.

“…berdasarkan pengalaman lepas, connector itu akan bersambung apabila berlaku pergerakan arus dalam tempoh tertentu,” katanya.

 

PANTAU

Bagi menilai impak pembinaan tukun LRT itu terhadap sumber perikanan dan ekologi marin, Ketua Cawangan Konservasi Ekosistem dan Biodiversiti Jabatan Perikanan Malaysia Azlan Md Nor berkata pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala dalam tempoh enam bulan atau setahun sekali, bergantung pada keadaan struktur.

“Tidak hanya itu, pemantauan juga meliputi pertumbuhan karang, kerana keadaan struktur yang berbeza. Kita juga akan tanam karang jenis tanduk rusa (Acropora sp) di bahagian bumbung dan sekeliling struktur LRT tersebut dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.

pic-4

Dalam pada itu, beliau berkata kemungkinan gerabak LRT tersebut akan menjadi tukun bendasing terakhir diturunkan kerana bahan sedemikian sangat berisiko untuk mencemarkan ekosistem marin.

“Kami risau sekiranya tidak dapat memantau secara teliti (mengakibatkan)  kawasan tersebut menjadi dumping site, seterusnya mencemarkan persekitaran laut,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan bekalan ikan dan hidupan marin lain sentiasa terpelihara, pihaknya bercadang membangunkan kompleks tukun tiruan di seluruh negara.

 

AKTIVITI SELAM SKUBA

Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman Datuk Idros Yahya pula menyifatkan keberadaan tukun rekreasi LRT akan membantu mempromosikan pulau pelancongan itu sebagai destinasi utama untuk aktiviti selam skuba.

"Kita menyambut baik setiap usaha melabuhkan tukun tiruan di sini, kerana ia memberi impak positif terhadap sistem ekologi marin laut.

"Secara tidak langsung, ia akan menarik kehadiran lebih ramai pelancong, peminat aktiviti selam skuba khususnya, selain memberi kesedaran kepada mereka tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan laut," katanya.

Beliau turut berharap agar inisiatif melabuhkan tukun LRT itu akan mendidik dan memupuk kesedaran dalam masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan menghargai keindahan perairan yang berpotensi dibangunkan sebagai produk ekopelancongan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan