EKONOMI

Bekas Perunding Unit Amanah Didenda Rm687,500 Kerana Tipu Pelabur - Sc

01/08/2024 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan celaan serta denda sebanyak RM687,500 terhadap Amran Mohd Amin atas tiga pelanggaran undang-undang sekuriti.

SC menjelaskan keputusan itu telah berkuat kuasa pada 26 Jun, 2024.

Suruhanjaya itu mendapati Amran telah menyeleweng sebanyak RM215,000 daripada empat bakal pelabur dari Januari 2022 hingga Januari 2023 untuk tujuan pelaburan dalam dana unit amanah dengan Kenanga Investors Bhd (KIB).

“SC mendapati sebaliknya Amran telah memasukkan dana bakal pelabur tersebut ke dalam akaun pelaburan amanah sahamnya sendiri,” jelas SC menerusi kenyataan pada Khamis.

Amran juga telah memberikan penyata akaun yang dipalsukan kepada dua daripada empat pelabur itu, memberikan gambaran palsu bahawa pelaburan atau pembelian unit amanah telah dibuat, sedangkan perkara itu tidak berlaku, tambah SC.

Menurut SC, Amran yang berkhidmat dengan KIB sebagai perunding unit amanah pada masa itu melakukan pelanggaran yang menyebabkan sekatan pentadbiran mengikut Seksyen 354(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). 

Kesalahan itu melibatkan pelanggaran di bawah Seksyen 92A(2)(a) CMSA; Perenggan 5.02(b) Garis Panduan SC mengenai Kelakuan untuk Pengantara Pasaran Modal; serta Perenggan 4.1(a) Kod Etika Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, tambah SC.

“Tindakan SC terhadap Amran dibuat selepas melalui proses yang sewajarnya terhadapnya termasuk peluang untuk beliau menjawab kepada SC mengenai pelanggaran tersebut serta keputusan SC.

“Amran tidak memfailkan sebarang semakan terhadap keputusan SC dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah CMSA,” menurut SC.

SC menjelaskan celaan yang dikenakan kepada Amran adalah yang terbaru dalam tindakan penguatkuasaan pihaknya terhadap perunding unit amanah (UTC) kerana salah laku.

“Ia juga memberi peringatan tegas bahawa sebarang salah laku tidak akan diberi toleransi. SC memandang serius salah laku UTC dalam pasaran modal,” jelas SC.

Menurut SC, sejak 2020 pihaknya telah mengambil tindakan pentadbiran terhadap sembilan individu kerana salah laku.

Tindakan itu termasuk ke atas kesalahan menerima wang tunai dan mempunyai wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadi mereka daripada pelabur untuk tujuan pelaburan dalam unit amanah, dan memberikan penyata yang mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan kepada pelanggan.

“SC mengingatkan semua UTC untuk bertindak dengan jujur, berintegriti dan demi kepentingan terbaik pelanggan mereka, demi menjaga integriti pasaran modal,” menurut suruhanjaya itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan