EKONOMI

Malaysia akan mula tampil sebahagian daripada 40 kes penggunaan rangkaian 5G mulai akhir September

01/08/2024 07:26 PM

PUTRAJAYA, 1 ​​Ogos (Bernama) -- Malaysia akan mula menampilkan sebahagian daripada 40 kes penggunaan rangkaian persendirian 5G dalam pelbagai sektor utama pada akhir September sebelum mengambil alih kepengerusian Asean pada 2025, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata sektor yang akan terlibat antaranya penjagaan kesihatan, logistik, pelancongan dan pengangkutan.

“Saya harap usaha ini akan mula bergerak pada akhir bulan depan dan kita akan dapat melihat kes ujian dijalankan dan berjalan sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemecut Digital oleh Alibaba Cloud di sini, pada Khamis.

Kes ujian merujuk kepada tindakan yang diperlukan untuk mengesahkan ciri atau fungsian tertentu.

Beliau berkata Digital Nasional Bhd (DNB) mencatatkan pencapaian mengagumkan dengan hampir 82 peratus liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh tiga tahun.

“Kami berjaya meningkatkan keupayaan 5G kami dan merekodkan hampir 14.8 juta pelanggan, kadar penggunaan sebanyak 43.6 peratus.

“Justeru, rakyat Malaysia sedang bergerak maju dalam aspek 5G. Bagi kes penggunaan kami telah memutuskan bahawa menjelang Disember, kami akan menghasilkan 40 kes pengunaan dan kerajaan telah meluluskannya,” katanya.

Sebelum ini Gobind dilaporkan berkata menjelang kepengerusian Asean pada 2025, Malaysia berminat untuk mengetengahkan keupayaan rangkaian persendirian 5G, dan melalui DNB, kerajaan menyasar untuk melaksanakan 40 kes pengunaan rangkaian persendirian 5G melibatkan pelbagai sektor di negara ini.

DNB akan bekerjasama dengan kementerian, agensi, syarikat telekomunikasi dan perusahaan yang berkaitan untuk menggalakkan penggunaan teknologi 5G merentas semua industri di Malaysia, katanya.

Sementara itu, Alibaba Cloud melancarkan satu siri inisiatif hari ini yang termasuk perluasan latihan bakat untuk syarikat pemula niaga dan komuniti kawasan luar bandar, penambahbaikan program perkongsian bertumpuan Al serta platform Al terkini.

Usaha itu berujuan meningkatkan penggunaan Al dan memacu pelan hala tuju transformasi digital dan inovasi Malaysia.

Langkah itu seterusnya menunjukkan komitmen berterusan Alibaba Cloud untuk memperkukuh usaha penyetempatannya susulan pengumuman pada Mei untuk membina pusat data ketiga di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengurus Besar Asia Pasifik Selatan Alibaba Cloud Intelligence Kun Huang berkata sebagai penyedia perkhidmatan awan terkemuka, Alibaba Cloud sedang giat memupuk ekosistem transformasi digital untuk mengorak laluan bagi pelan hala tuju digital negara.

“Menerusi langkah memperkasakan syarikat pemula niaga, rakan kongsi dan komuniti luar bandar dengan latihan digital dipacu Al dan platform teknologi terkini, kami komited untuk memacu teknologi awan dan Al ke hadapan serta memupuk bakat digital tempatan.

“Ini merupakan teras strategi kami untuk menyemarakkan inovasi dan sebagai langkah pertama menjadikan Malaysia yang lebih pintar dan cekap dipacu teknologi digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan