AM

Perlawanan Badminton Israel Lawan Nepal Disiarkan Secara Tidak Sengaja - RTM

02/08/2024 01:06 AM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Perlawanan badminton perseorangan lelaki peringkat kumpulan antara atlet Israel dan Nepal disiarkan secara tidak sengaja dalam tempoh kurang daripada lima minit di Saluran Olimpik 4 RTMKlik pada malam Rabu lepas.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dalam kenyataan tengah malam ini bagaimanapun berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengambil tindakan segera dengan menukar siaran ke acara lain iaitu bola baling.

“RTM selaku Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia secara langsung di Saluran Okey pada 8.50 malam hingga 9.30 malam, 31 Julai (MyTV, Astro & RTMKLIK).

“RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui Saluran TV Okey dan Saluran Sukan serta enam saluran khas di RTMKlik bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik lebih dekat bermula 27 Julai lepas hingga 12 Ogos,” katanya.

Petang tadi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta RTM untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan tiada siaran langsung aksi pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Ia susulan seorang pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM sebagai badan penyiaran nasional tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel Misa Zilberman dan atlet Nepal Prince Dahal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan