AM

MKMPK Setuju Laksana Kerangka Holistik Makmal Analisis Makanan Negara

02/08/2024 03:56 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) ke-17 hari ini bersetuju dengan usul pelaksanaan Kerangka Holistik Makmal Analisis Makanan Negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerangka itu antara lain bertujuan memperkukuh keupayaan analisis makanan negara dan mempersiapkan Malaysia dalam mendepani krisis keselamatan makanan.

“Ini akan dicapai menerusi pembangunan keupayaan analisis (makanan), peningkatan kompetensi juruanalisis dan pemerkasaan berteknologi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan MKMPK ke-17 di sini hari ini.

MKMPK merupakan badan penasihat tertinggi kepada kerajaan dalam segala hal berkaitan keselamatan makanan dan pemakanan negara yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan.

Penubuhan MKMPK adalah bagi membentuk dan mempertingkatkan kerjasama dan penyelarasan antara semua agensi yang terlibat di rantaian bekalan makanan bagi menghadapi cabaran baharu dalam keselamatan makanan dan pemakanan tempatan, serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju untuk mempertingkatkan pelaksanaan penandaan kalori pada menu di premis makanan khususnya di rangkaian restoran seluruh negara.

Memetik kajian data yang dijalankan dari Jun hingga November 2023 di Putrajaya berhubung penandaan kalori pada menu, katanya tiga daripada lima responden menyedari atau membaca kandungan kalori yang dipaparkan di premis dan 98.6 peratus responden menyatakan sokongan sekiranya kerajaan memperluas insiaitif tersebut.

“Penandaan kalori membantu pengguna membuat keputusan termaklum yang lebih baik berkenaan pengambilan kalori mereka, seterusnya menggalakkan industri perkhidmatan makanan merumus semula menu,” katanya.

Turut hadir MKMPK-17 ialah wakil Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Bersempena mesyuarat itu, Dzulkefly juga meluncurkan inisiatif Aspirasi Pemakanan Rakyat (ASPERA) bertujuan mengumpul maklumat, cadangan dan idea daripada semua peringkat masyarakat bagi pembangunan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia Keempat 2026-2030.

Portal ASPERA boleh dilayari di capaian https://sites.google.com/moh.gov.my/aspera/laman-utama dan orang ramai dipelawa memberikan cadangan hingga 31 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan