AM

Meta Beri Jaminan Siaran Langsung Himpunan Pembebasan Palestin Esok Tidak Diganggu - Fahmi

03/08/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Meta Platforms Inc (Meta) telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil esok tidak akan diturunkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jaminan tersebut telah diberikan oleh pegawai tertinggi Meta, bagi memastikan kelancaran siaran langsung tanpa sebarang gangguan bukan sahaja di platform media sosial pemimpin negara, tetapi juga oleh pihak media.

“Saya telah memberi penegasan dan amaran kepada pasukan Meta bahawa malam esok kita akan ada acara ini Himpunan Pembebasan Palestin, akan ada siaran secara langsung dan minta supaya mereka berikan kerjasama.

“Saya nak lihat mereka menterjemah untuk walk the talk dengan memastikan siaran bukan hanya di Facebook Perdana Menteri, tapi juga dalam kalangan rakan-rakan media tidak diganggu selama perhimpunan itu berjalan,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kempen #KasiJadi J&T Express dan ulang tahun keenam syarikat penghantaran antarabangsa itu, di sini hari ini. 

Beliau berharap dengan jaminan itu, isu penurunan siaran langsung perhimpunan serupa yang dijalankan pada tahun lepas tidak berulang.

“Saya telah bercakap dengan pihak Meta dan memberi penegasan kita tidak (mahu) lihat perkara ini berlaku seperti sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pihak Meta juga akan memberi penjelasan berhubung isu penurunan hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh di platform media sosial, dalam satu pertemuan pada Isnin ini.

Beliau berharap pertemuan itu berjalan lancar kerana tidak mahu berlaku sebarang gangguan kepada siaran langsung termasuk di Facebook, TikTok dan platform media sosial lain akan berlaku pada masa hadapan terutamanya berkaitan Palestin. 

“Ini kerana pihak Meta telah memaklumkan bagi ketua negara atau ketua kerajaan, menteri-menteri atau pegawai-pegawai memang diberikan satu pertimbangan yang khas bila membincangkan soal Palestin,” katanya. 

Dalam laporan media sebelum ini, Fahmi menyatakan kekesalan kerajaan dengan tindakan penurunan hantaran oleh Perdana Menteri berhubung pembunuhan Haniyeh oleh pihak Meta dan telah memohon penjelasan bagi perkara itu. 

Mengenai perhimpunan yang akan bermula pada 6 petang esok dan dihadiri oleh Anwar, Fahmi berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir ke stadium tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan