AM

Maksimum 20 Liter Diesel Untuk Kenderaan Asing 30km Dari Sempadan Indonesia, Brunei

03/08/2024 11:39 PM

PAPAR, 3 Ogos (Bernama) -- Kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tidak melebihi 20 liter di stesen minyak Sabah dan Sarawak yang beroperasi dalam radius 30 kilometer dari sempadan Brunei atau Indonesia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata selepas radius 30 kilometer itu, warganegara asing boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan dengan syarat isian itu hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja.

Armizan berkata ia berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan Di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung Larangan Penjualan Diesel dan Petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang sedang berkuatkuasa dan dikeluarkan pada 17 Jun 2022.

“Terdapat kekeliruan di stesen minyak tertentu apabila tular larangan jualan minyak diesel kepada kenderaan asing, mereka khuatir dan keliru dengan peraturan yang sedia ada yang sebenarnya telah dikeluarkan sejak Jun 2022.

“Kita mahu lindungi hak rakyat kita untuk subsidi terbabit, tetapi pada masa sama kita prihatin kerana bagi kita kedatangan pelancong ke Sabah dan Sarawak ini penting untuk ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah Papar dan Program Battle of Ethnic di sini malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas hantaran tular menerusi media sosial berkaitan konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ atau luar jalan raya di Sarawak, namun kumpulan itu berdepan kesukaran mengisi diesel kerana stesen minyak di laluan mereka enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.

Armizan berkata isian maksimum 20 liter diesel juga terpakai kepada stesen minyak di Semenanjung yang terletak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand dan Singapura berdasarkan peraturan sama, dan warganegara asing boleh mengisi minyak diperlukan dalam kenderaan selepas radius itu.

“Berkemungkinan isu ini berbangkit kerana pengusaha-pengusaha stesen bimbang stesen minyak ditularkan jika menjual kepada kenderaan-kenderaan asing sebagaimana yang banyak berlaku sekarang. 

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan meneruskan advokasi berkaitan arahan ini kepada syarikat dan pengusaha stesen minyak bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kenderaan asing tidak boleh sama sekali diisi dengan minyak petrol RON95 bersubsidi yang telah disediakan untuk rakyat Malaysia, dan warganegara asing hanya dibenarkan membeli petrol RON97 untuk kenderaan masing-masing.

KPDN juga katanya mengambil perhatian tentang rungutan daripada pelancong asing di Sabah dan Sarawak yang sukar mendapatkan bekalan petrol RON97 kerana tidak banyak stesen minyak yang membekalkan petrol terbabit.

“Saya akan mendapatkan laporan segera daripada KPDN Sabah dan Sarawak, dan mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk berbincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan