SUKAN

Beasley Jangka Permukaan Baharu Velodrom Paris Lebih Laju

05/08/2024 08:53 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 5 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley menjangkakan tahap kelajuan bagi saingan acara trek akan lebih tinggi pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata ia berikutan permukaan trek di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines yang dibina pada 2014 baharu sahaja dinaik taraf menjelang temasya tersebut.

Velodrom ini baru sahaja resurfaced. Permukaan akan laju tambahan dengan cuaca panas, kemungkinan trek akan jadi laju. 

“Namun, atlet semua pernah berlumba di sini, jadi agak cepat menyesuaikan diri dengan permukaan di sini. Kita ada lagi satu sesi latihan sebelum acara bermula,” katanya dalam satu perkongsian bersama media Malaysia selepas beberapa sesi latihan di velodrom berkenaan.

Acara trek membuka tirai hari ini bagi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki serta pecut berpasukan lelaki dan wanita manakala saingan melibatkan kem negara bermula pada Rabu.

Pemenang pingat perak keirin lelaki di Tokyo 2020, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi dalam acara pecut yang berlangsung sehingga Jumaat ini manakala debutan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri beraksi dalam keirin wanita sehingga Khamis.

Nurul Izzah Izzati kemudian akan membuka kempen dalam acara pecut dari Jumaat hingga Ahad, manakala Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi dalam acara utama mereka, keirin lelaki pada Sabtu dan Ahad. 

Beasley berkata pihaknya akan menilai kemampuan atlet pada kelayakan 200 meter (m) bagi acara pecut untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka.

“Saya hanya menyasarkan personal best untuk Azizul, Shah Firdaus dan Izzah. Acara keirin adalah sasaran utama kami di mana pelaksanaan taktikal paling penting bagi setiap saringan. 

“Kita sudah melaksanakan banyak simulasi dan menilai taktikal lawan. Perkara ini penting bagi memastikan pemilihan gear bersesuaian dalam taktikal perlumbaan. Paling penting sekarang memastikan atlet sihat dan cepat pulih daripada acara pecut,” katanya. 

Beasley berkata segala persediaan berjalan mengikut perancangan engan fasa kem latihan terakhir di Mallorca, Sepanyol juga telah menunjukkan hasil yang positif. 

“Data dan maklum balas daripada atlet menunjukkanpasukan berada di landasan yang betul. Ini merupakan persediaan terakhir, kerja keras telah dilakukan selama ini cuma perlu memperbaiki perkara-perkara kecil dari segi teknikal, taktikal, fisiologikal, dan psikologi untuk memastikan pelaksanaan yang sempurna,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan