EKONOMI

Hala Tuju Dasar Kerajaan Mula Nampakkan Hasil, Tarik Semula Perhatian Pelabur - Rafizi

06/08/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Hala tuju dasar kerajaan mula menampakkan hasil serta menarik semula perhatian dan keyakinan pelabur berdasarkan beberapa perkembangan terkini ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini termasuk naratif ekonomi yang meyakinkan, pelaburan asing yang semakin meningkat, komitmen pengukuhan fiskal dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 serta ringgit yang menunjukkan tanda-tanda pengukuhan mendadak. 

Katanya komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembaharuan fiskal yang sukar dan perancangan ekonomi yang komprehensif telah menghasilkan satu naratif pertumbuhan ekonomi yang baharu.

“Mata wang tempatan telah mengatasi prestasi dolar AS (Amerika Syarikat) selama 10 hari berturut-turut, iaitu prestasi terbaik dalam tempoh 14 tahun.

“Setakat ini, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.16 peratus berbanding dolar AS. Malah, prestasi ringgit mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound, RMB (renminbi) China dan euro,” katanya dalam catatan di platform X hari ini. 

Rafizi berkata ringgit adalah satu-satunya mata wang di Asia yang mengukuh berbanding dolar AS.

“Bergerak ke hadapan, kita menjangka penurunan kadar faedah pertama di AS yang boleh berlaku seawal pertengahan September akan terus mengukuhkan lagi kedudukan ringgit.

“Walaupun terdapat kata sepakat dalam kalangan firma penyelidikan bahawa ringgit akan terus mengukuh, tumpuan saya kekal kepada pelaksanaan dasar yang telah dirancang secara berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ekonomi dunia akan terus bergolak dalam masa terdekat yang akan terus mempengaruhi turun naik ringgit.

Beliau berkata nilai ringgit hanya akan dapat dipertahankan daripada ketidaktentuan global sekiranya ekonomi negara distrukturkan ke arah berteknologi tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan