EKONOMI

Pasaran Karbon Mantap Mampu Tangani Perubahan Iklim - Bursa Malaysia

08/08/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) --  Pasaran karbon yang dirangka dengan baik mampu menawarkan penyelesaian berskala dan sedia ada bagi membantu dunia bertindak secara integriti serta menangani impak perubahan iklim, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar. 

Bersandarkan kepentingan itu, beliau berkata kerajaan Malaysia mengumumkan inisiatif Pasaran Karbon Sukarela (VCM) di Malaysia pada Belanjawan 2022 yang disusuli dengan pelancaran Bursa Carbon Exchange (BCX) oleh Bursa Malaysia pada akhir 2022. 

"VCM berperanan sebagai instrumen penetapan harga karbon pertama di negara ini bagi memangkin dan menggalakkan lagi usaha berkaitan penyahkarbonan.

“Saya juga percaya dari semasa ke semasa, mekanisme pematuhan karbon perlu diperkenalkan juga di negara ini," katanya ketika berucap pada sesi Forum Pasaran Karbon Malaysia (MCMF) Kedua di sini, hari ini.  

Menjelaskan selanjutnya, Abdul Wahid berkata pasaran karbon juga tidak hanya menekankan aspek mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Sebaliknya, skim mantap atau dirangka dengan baik juga dapat memberi keutamaan kepada keterangkuman manfaat bersama yang bersifat kualitatif dan kuantitatif selain faedah tambahan, lazimnya kepada alam sekitar dan komuniti dalam projek berkaitan karbon.

Beliau berkata walaupun pasaran sedia maklum dengan kepentingan pasaran karbon, malangnya bantahan terhadap penggunaan kredit karbon baru-baru ini telah mendorong beberapa syarikat bertanggungjawab bertindak mengelak risiko reputasi berkaitan dengan sebaran maklumat tidak tepat mengenai manfaat alam sekitar.

“Kami sedia maklum bahawa sepertimana pasaran-pasaran baharu lain, pasaran karbon sukarela ini juga masih dalam proses untuk matang.

“Seiring usaha mencapai sasaran ini, kami menyambut baik sebarang maklum balas secara kolektif untuk menambaik baik integriti dan kualiti pasaran karbon Malaysia,” katanya.

Abdul Wahid turut menekankan kredit karbon yang mewakili pengurangan pelepasan GHG sebenar, perlu sentiasa seiringan dengan usaha berkaitan menerusi intervensi secara langsung.

Beliau mengingatkan, berdasarkan keperluan mendesak iklim yang dihadapi dunia, semua pihak tidak boleh menjadikan aspek kesempurnaan sebagai kekangan untuk melakukan perkara yang positif.

“Ada kebimbangan syarikat yang menggunakan kredit karbon untuk mengurangkan jejak karbon sebaliknya akan menangguhkan pengurangan pelepasan GHG sebenar mereka. 

“Atas alasan ini, saya ingin berkongsi mengenai hasil dapatan Trove Research pada Jun 2023 yang mendedahkan syarikat pengguna material kredit karbon (bertindak) menyahkarbon dua kali lebih cepat berbanding syarikat yang bertindak sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, acara MCMF itu dianjurkan bersama oleh BCX dan Persatuan Perdagangan Pelepasan Antarabangsa.

Bertemakan ‘Memperkasa Tindakan Iklim Melalui Pasaran Karbon,’ MCMF menumpukan aspek meninjau amalan terbaik dalam memajukan ekosistem pasaran karbon Malaysia selain menyokong agenda iklim negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan