POLITIK

PRK Nenggiri: Pastikan Kempen Kekal Bersih Daripada Sentuh Isu 3R

08/08/2024 03:52 PM

GUA MUSANG, 8 Ogos (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diharap dapat dipastikan kekal ‘bersih’ daripada menyentuh isu sensitif membabitkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi raja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata setakat hari keenam kempen hari ini, tiada laporan polis diterima membabitkan isu berkenaan.

"Kita harap semua pihak, baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang tidak sentuh isu sensitif 3R semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri.

"Biar pengundi dapat buat keputusan dengan baik dan bijaksana untuk memilih wakil rakyat di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama lebih 200 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo.

PRK DUN Nenggiri yang diadakan pada 17 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Sementara itu, Foo berkata pihaknya setakat ini sudah meluluskan 70 permit ceramah dan kempen bergerak bagi parti politik yang bertanding di DUN Nenggiri.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 34 permit dikeluarkan membabitkan ceramah manakala 36 kempen bergerak, malah tiada sebarang permohonan permit yang ditolak.

"Hanya satu kertas siasatan sahaja dibuka setakat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan