EKONOMI

Pembukaan Fab Infineon Technologies Di Kulim Satu Kejayaan Besar Bagi Kedah, Malaysia - Anwar

08/08/2024 04:52 PM

KULIM, 8 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan loji fabrikasi (fab) tenaga semikonduktor 200 milimeter silikon karbida (SiC) Infineon Technologies di sini merupakan satu kejayaan besar buat Kedah dan juga Malaysia.

Beliau berkata loji baharu itu menyerlahkan kelebihan Malaysia di peringkat global dalam menarik pelaburan.

“Saya akan katakan, lihat Infineon, syarikat ini memutuskan (untuk melabur di Malaysia), pasti ada alasan yang baik, (seperti) infrastruktur, insentif menarik dan disiplin tenaga kerja profesional.

“Kemunculan mereka untuk melabur dalam fab tenaga silikon 200mm terbesar dunia, sudah cukup untuk menjadi daya penarik bagi negara ini,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Infineon Technologies Kulim 3 di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini hari ini.

Turut hadir di majlis ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG Jochen Hanebeck.

Anwar berkata kehadiran Infineon di negara ini bersama dengan loji pembuatan terbaharunya, bukan sahaja menyaksikan penerokaan kedalam apa yang dianggap sebagai teknologi baharu, tetapi juga dalam industri yang sangat fokus dan tepat.

“Saya mahu rakyat Malaysia faham bahawa perkembangan ini adalah hasil penyelidikan oleh profesional berkemahiran tinggi, pekerja berdedikasi, dan disiplin yang hebat… Infineon ialah perusahaan semikonduktor dan industri fab utama, berada di peringkat paling maju dalam bidang ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah diiktiraf kerana keupayaannya untuk mengguna pakai teknologi cemerlang, yang kini memenuhi keperluan proses maju, sekali gus menunjukkan bahawa keupayaan Malaysia telah meningkat.

“Kita perlu bersedia, infrastruktur mestilah cemerlang. Ini melibatkan KHTP, kerajaan negeri dan agensi persekutuan. Kita tidak sepatutnya dan tidak boleh bertolak ansur dengan ketidakcekapan atau sebarang kelewatan. Apabila syarikat seperti Infineon menunjukkan minat untuk melabur, kita mesti membalas dengan komitmen yang jelas.

“Yang kedua ialah ekosistem. Mengapa Malaysia kini dianggap sebagai hab di rantau ini bagi ekosistem? Kita bersaing dengan jiran kita kerana kita mempunyai kelebihan selama lebih dua atau tiga dekad yang lepas.

“Ekosistem memang membantu, namun ia perlu terus diperbaiki. Saya sering menekankan keperluan kepada daya tahan. Budaya tidak apa dan berpuas hati dengan tahap semasa tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

Anwar berkata terdapat beberapa cabaran lain, tetapi kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan negara kekal menjadi destinasi pelaburan yang sangat menarik bagi pelabur.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh mengharapkan untuk dianggap sebagai pemain yang berjaya dalam teknologi baharu ini jika ia terus berfungsi pada kadar biasa.

“Malaysia kini dianggap sebagai hab bagi industri semikonduktor. Ini adalah pencapaian yang luar biasa, terima kasih kepada semua pemain atas sumbangan mereka. Bagaimanapun apa yang membimbangkan saya, seperti yang saya nyatakan, adalah kita tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan kita.

“Kita sedang berusaha untuk terus maju, dan untuk memajukan agenda, ia bermakna semua agensi, semua jabatan, dan semua peringkat profesionalisme mesti meningkatkan perbincangan. Perkara ini perlu dititikberatkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan