EKONOMI

Inisiatif Pelaburan Bakal Pacu Transformasi Ekonomi Malaysia - Penganalisis

09/08/2024 12:23 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka menyaksikan transformasi ekonomi yang menjanjikan impak besar merentasi pelbagai sektor susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan firma pengurusan kekayaan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama ini termasuk pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) mengenai inisiatif pelaburan langsung domestik (DDI) tambahan bernilai RM120 bilion, semalam.

Usaha itu membabitkan komitmen pelaburan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama dalam tempoh lima tahun akan datang yang dilihat langkah penting dalam strategi ekonomi negara.

Beliau berkata inisiatif dikenali GEAR-uP diterajui MOF, merupakan pelan berwawasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dan menyasarkan bidang kritikal termasuk teknologi hijau, infrastruktur dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura. 

Innes berkata pelaburan strategik selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI itu juga bermatlamat memangkin usaha mewujudkan pekerjaan, merangsang pertumbuhan sektor selain turut menarik pelaburan langsung asing.

Malah, katanya, konsep Malaysia MADANI juga menggalakkan masyarakat sivil dan inklusif berteraskan pembangunan mampan, juga dapat direalisasikan menerusi inisiatif terbabit. 

“Kepimpinan beliau jelas tertumpu kepada usaha memupuk daya tahan dan keterangkuman ekonomi jangka panjang yang berpotensi meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global. 

“Hala tuju strategik ini sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia dan menekankan komitmen terhadap kemampanan global selain inovasi teknologi,” kata Innes. 

Bagi peringkat sektor, beliau berkata penekanan terhadap segmen hijau dan teknologi juga akan mengupayakan Malaysia untuk menerajui industri itu di peringkat ASEAN. 

Jangkaan impak itu termasuk pembangunan kemahiran baharu, kemunculan industri-industri baharu dan pempelbagaian portfolio ekonomi Malaysia yang melangkaui kebergantungan tradisional kepada berasaskan sumber asli.

"Pelaburan dalam infrastruktur misalnya akan menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk tujuan pelaburan.

"Dalam dekad akan datang, pelaburan ini dijangka mewujudkan manfaat ketara seperti aspek infrastruktur lebih kukuh, sektor berteknologi tinggi dan penunjuk ekonomi yang dipertingkat, sekali gus dapat memacu Malaysia ke arah ekonomi yang lebih pelbagai serta berdaya tahan," katanya.

Enam GLIC yang terbabit dalam pelaksanaan fasa pertama program GEAR-uP adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sambil menyifatkan  menyifatkan usaha pelaburan itu sebagai wajar dan seiring dengan pergerakan global ke arah kemampanan dan teknologi canggih dari perspektif makroekonomi. 

Malah, beliau berkata perkembangan sedemikian juga penting dalam melindungi Malaysia daripada kemelesetan ekonomi dan pada masa sama meningkatkan kelebihan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Di peringkat mikroekonomi, unjuran pertumbuhan dijangka dapat disebarluaskan dalam pelbagai strata ekonomi. 

Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya akan meraih manfaat daripada peningkatan permintaan selain peluang baharu dicetuskan projek-projek, memupuk inovasi perniagaan tempatan serta keusahawanan dalam sektor disasarkan.

Innes turut mengingatkan bahawa usaha atau perjalanan itu tidak terkecuali daripada cabaran, termasuk jangkaan senada daripada kalangan ahli ekonomi dan pelabur di peringkat domestik dan antarabangsa membabitkan optimis yang berhati-hati.

“Mereka mengakui potensi besar daripada semua pelaburan ini tetapi pada masa sama turut menekankan kemungkinan wujudnya kekangan seperti penangguhan pelaksanaan, cabaran pembiayaan atau pendanaan dan keperluan mendesak dari segi tenaga kerja mahir.

“Kemuncak kejayaan program ini akan bergantung kepada kecekapan dan ketelusan pengurusan dan memastikan pelaburan ini jelas selaras dengan sasaran ekonomi Malaysia yang meluas serta dinamik pasaran global,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata tumpuan Malaysia terhadap kemampanan dan inovasi teknologi, disokong nilai-nilai masyarakat inklusif, dijangka dapat memperkemas landskap sosioekonomi.

Senario sedemikian, katanya, turut memaparkan era baharu kemakmuran serta daya tahan di bawah kepimpinan Anwar menerusi pelaburan modal yang lebih strategik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan