EKONOMI

Solarvest Raih Lima Perjanjian Tenaga Hijau Berjumlah 59.98 Megawatt

09/08/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd menandatangani lima Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (CGPA) yang berasingan dengan Bursa Malaysia Bhd, Micron Technology, dua pengeluar semikonduktor terkemuka global dan penyedia perkhidmatan pusat data global terkemuka (dirujuk sebagai pengguna korporat) di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

Dalam satu kenyataan hari ini, Solarvest berkata perjanjian-perjanjian itu diwujudkan melalui dua usaha sama, iaitu antara Savelite Engineering Sdn Bhd dan TNB Renewables Sdn Bhd dan satu lagi khususnya dengan TNB Renewables.

Di bawah CGPA ini, Solarvest dan rakan kongsi yang juga pengeluar tenaga solar (SPP), akan mengambil alih pemilikan dan tanggungjawab pembangunan untuk dua loji tenaga solar di Lumut, Perak dan Kulim, Kedah.

CGPA yang ditandatangani dengan tempoh 21 tahun, akan memperkukuhkan aliran pendapatan berulang Solarvest daripada jualan elektrik yang dihasilkan dari loji-loji tenaga solar itu, tambahnya.

Sementara itu, Solarvest berkata para pengguna korporat secara kolektif akan mengambil kapasiti elektrik gabungan sebanyak 59.98 megawatt arus ulang alik (MWac) yang dihasilkan dari loji tenaga solar selama 21 tahun, dengan kontrak untuk mekanisme berbeza pada harga yang telah dipersetujui.

Dengan menyertai CGPP, pengguna korporat boleh mendapatkan Sijil Tenaga Boleh Baharu (RE) yang mengesahkan asal usul elektrik yang dibeli adalah daripada sumber RE dalam menyokong matlamat dan komitmen kelestarian mereka.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Davis Chong Chun Shiong berkata CGPP menandakan satu langkah penting ke arah pasaran tenaga yang lebih terbuka dan kompetitif di Malaysia yang dipacu oleh prinsip permintaan dan penawaran.

CGPP merupakan komitmen kerajaan Malaysia untuk memajukan peralihan tenaga negara. Melalui model CGPA, CGPP menawarkan peluang kepada syarikat-syarikat untuk mendapatkan tenaga elektrik boleh baharu secara maya, tanpa perlu memasang aset-aset fotovoltaik solar di premis mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan