AM

MOF Lanjutkan Permohonan Pembayaran Balik Tunai Pemilik Kenderaan Berkelayakan

09/08/2024 11:15 PM

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) akan melanjutkan mekanisme pembayaran balik secara tunai hingga Ogos ini kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang masih belum menerima fleet card

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan kemudahan itu terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada atau sebelum 30 Jun 2024.

Lanjutan itu membolehkan pemohon yang layak untuk membuat tuntutan bagi penggunaan diesel dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2024 atau sehingga menerima fleet card, atau bagi tempoh maksimum tiga bulan sahaja, mana-mana terdahulu. 

“Hari terakhir untuk mengemukakan tuntutan juga telah dilanjutkan ke 15 Sept 2024," menurut kenyataan itu.

Terma dan syarat lain yang dinyatakan pada 28 Jun lepas juga kekal tidak berubah antaranya resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit dan tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan yang setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan.

MOF memberitahu pemilik kenderaan logistik yang layak boleh mula mengemukakan tuntutan bulan Ogos 2024 mulai 12 Ogos ini.

Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelanjutan pembayaran tunai itu memberi masa yang secukupnya kepada syarikat-syarikat logistik berkelayakan untuk menerima fleet card dan tidak menghadapi sebarang kesulitan menerima subsidi bersasar.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar, dan ini termasuklah memastikan semua yang berkelayakan dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya untuk mengurangkan impak kepada rakyat,” katanya.

Menurut MOF, mekanisme ini merupakan pemudah cara sementara bagi membolehkan pembayaran semula secara tunai bagi menampung perbezaan antara harga runcit diesel dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh memohon untuk mendapatkan pembayaran balik tunai ini melalui portal BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my. 

Pemohon yang layak akan diberi bayaran balik secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel pada tarikh pembelian berbanding harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, dengan had liter tertentu setiap kenderaan bagi setiap bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan