SUKAN

Paris 2024: Kem Terjun Pulang Tangan Kosong Lagi

10/08/2024 02:15 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 9 Ogos (Bernama) -- Kem terjun negara pulang tangan kosong dari Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut apabila tiada penerjun yang mampu meraih penamat podium di Paris 2024.

Pada hari ke-14 temasya, penerjun berpengalaman Nur Dhabitah Sabri, yang layak menerusi kuota tidak digunakan oleh atlet negara lain, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tercorot dalam kalangan 12 penerjun di final acara 3 meter (m) papan anjal wanita. 

Pada aksi di Pusat Akuatik Olimpik itu, beliau sekadar mengumpul 244.80 mata selepas lima terjunan susulan prestasi tidak konsisten dan kekurangan persediaan, manakala Chen Yiwen berjaya mengekalkan dominasi China dalam acara itu sejak edisi 1988 Seoul, apabila meraih emas dengan 376.00 mata.

Terdahulu, penampilan sulung Bertrand Rhodict Lises berakhir dengan kekecewaan apabila gagal mara ke separuh akhir bagi acara 10m platform lelaki.

Atlet berusia 19 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta pada pusingan awal selepas meraih 313.70 mata dalam enam terjunan dengan hanya 18 penerjun terbaik mara ke separuh akhir esok.

Malaysia meraih pingat pertamanya dalam terjun pada edisi London 2012, iaitu gangsa acara 10m platform wanita menerusi Datuk Pandelela Rinong seterusnya rangkul perak acara 10m platform seirama di Rio 2016 menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong di Rio 2016 tetapi gagal mengekalkan momentum itu di Tokyo 2020 dan Paris 2024. 

Sementara itu, pelumba berbasikal trek wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memulakan cabaran di acara pecut wanita dengan cemerlang apabila memperbaharui rekod kebangsaannya sebelum tersingkir pada pusingan repechages 1/32.

Pelumba berusia 20 tahun itu mencatatkan 10.709 saat (s) di pusingan kelayakan, mengatasi rekod 10.903s yang dicipta pada Kejohanan Asia di Nilai, Negeri Sembilan pada tahun lepas untuk layak ke peringkat seterusnya selaku 24 pelumba terpantas.

Namun, perjalanan debutan itu tidak berpanjangan apabila tewas kepada pelumba Great Britain, Sophie Capewell pada pusingan 1/32, selain turut gagal menebus kekecewaan itu menerusi peluang kedua selepas menamatkan perlumbaan repechages 1/32 di belakang pelumba Kanada, Lauriane Genest. 

Di Le Golf National, pemain golf profesional wanita negara Ashley Lau terus mempamerkan prestasi merudum buat hari kedua berturut-turut apabila melakukan tujuh atas par 79 pada pusingan ketiga.

Selepas memulakan kempen dengan baik menerusi par 72 pada Rabu untuk berkongsi kedudukan ke-13, beliau kini berkongsi kedudukan ke-52 dengan pemain Itali, Alessandra Fanali dengan pukulan keseluruhan 12 atas par 228 menjelang pusingan terakhir esok.

Esok, tumpuan seluruh rakyat Malaysia akan berada di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome apabila Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom memulakan kempen dalam acara keirin lelaki dengan matlamat merangkul emas pertama buat negara.

Pusingan pertama dan repechage acara itu dijadualkan pada petang esok (malam di Malaysia), manakala suku akhir, separuh akhir dan final akan diadakan pada Ahad.

Dengan berbaki dua hari sahaja sebelum temasya Paris 2024 menutup tirai, Malaysia hanya meraih dua gangsa menerusi badminton, yang disumbang oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan