Penampilannya biasa-biasa sahaja, namun lain pula dengan jiwa wanita berketurunan Dusun ini yang tepu dengan keinginan “memerdekakan” komuniti kampungnya daripada kemiskinan.
Meskipun diri sendiri bukan orang berada, usahawan tani Magret Darusin, 55, anak jati Kampung Tambatuon di sini, berharap dapat berkongsi rezeki dengan penduduk kampung menerusi pelbagai inisiatif yang diusahakannya.
Bermula dengan padi keladi organik yang menghasilkan beras merah serta beberapa jenis tanaman lain, Magret meluaskan usahanya dengan menanam koko yang kemudian dijadikan produk koko urai.
Ibu kepada enam anak ini tidak bersendirian. Sebaliknya beliau menggerakkan penduduk kampung termasuk suri rumah, agar menghidupkan kembali tanaman koko yang pernah diusahakan mereka pada satu ketika dulu.
“Setakat ini, kampung kami mengusahakan tanaman koko. Ada 18 orang petani yang aktif menanam koko termasuk saya. Tanaman koko saya ketika ini cuma ada 300 pokok dan dapat menghasilkan hingga 100 kilogram setiap tuaian,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, buah koko biasanya dapat dituai pada Mei dan Disember setiap tahun.
BANGKITKAN SEMANGAT
Kampung Tambatuon terletak di kaki Gunung Kinabalu, iaitu sejauh 32 kilometer (km) dari pekan Kota Belud atau 71 km dari Kota Kinabalu, terkenal sebagai destinasi pelancongan.
Rata-rata penduduknya merupakan petani yang mengusahakan tanaman seperti padi organik, koko, getah, nanas dan lada hitam.
pic-2
Berkongsi lanjut, Magret berkata penanaman koko di kampungnya bermula pada 2012, namun terhenti begitu sahaja berikutan harga komoditi itu kurang memberangsangkan.
“Disebabkan oleh harga koko dulu tidak tinggi, kami tidak bersemangat untuk meneruskan usaha, jadi kami biarkan sahaja sehingga kebun menjadi belukar,” jelasnya.
Namun, kehadiran Persatuan Keusahawanan Sosial Sabah (Sosea) di kampung itu pada 2018, membuka lembaran baharu buat Magret dan pekebun koko lain.
Mereka diberikan kursus keusahawanan serta tunjuk ajar bagi memulihkan tanaman koko mereka yang terbiar sebelum ini.
Selepas mendengar penjelasan Sosea tentang potensi industri koko, Magret kemudian bertindak mendapatkan lesen sebagai pemproses biji koko basah sendiri daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM), sekali gus membolehkannya membeli biji koko basah daripada pekebun lain.
Pada waktu itu, beliau menawarkan harga yang kompetitif berbanding pemproses lain bagi menaikkan semangat pekebun koko.
“Saya buat begitu sebab saya tidak mahu mereka masih tidak bersemangat tanam koko. Tidak mengapa saya beli pada harga tinggi kerana saya akan cari inisiatif lain supaya balik modal. Saya juga pekebun. Jika harga rendah tidak berbaloi, kerana pendapatan yang diperoleh tidak setimpal dengan usaha,” katanya.
PELBAGAIKAN HASIL
Bagi meningkatkan penglibatkan penduduk, khususnya suri rumah, dalam industri koko, Magret mempelbagaikan produk berasaskan komoditi itu, antaranya serbuk koko, bar coklat dan koko urai yang dijual kepada sebuah syarikat pengeluar coklat tempatan dan orang perseorangan.
“Kita libatkan suri rumah agar mereka dapat menjana pendapatan dan seterusnya membantu ekonomi keluarga,“ katanya.
pic-3
Beliau juga berharap dapat menjadikan kampung itu sebagai antara pengeluar koko selain membina jenama coklat sendiri.
Usaha itu dijangka dapat direalisasikan dalam masa terdekat apabila kilang coklat mini yang dibangunkan menerusi bantuan Bank Islam, siap dibina tidak lama lagi.
Selain itu, Magret juga bertanggungjawab mengendalikan Pusat Pemprosesan Koko, Kelompok Koko Kampung Tambatuon - satu projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
RANCANGAN MASA DEPAN
Bercerita tentang masa depan, Magret berkata beliau mempunyai beberapa rancangan termasuk menambah tanaman koko kira-kira 2,000 batang pokok lagi yang akan melibatkan kawasan seluas dua hektar.
Selain itu, beliau juga mahu memastikan penglibatan golongan belia di kampungnya dalam industri koko diperkasa dalam tempoh dua tahun ini, agar wujud generasi pelapis.
“Peranan belia sangat diperlukan, kerana, jika kita tidak libatkan mereka, siapa yang akan meneruskan usaha (mengembangkan industri koko) ini?” ujarnya, menambah beberapa inisiatif telah dijalankan bagi tujuan itu, termasuk penganjuran kursus pembuatan coklat.
Ditanya tentang faktor yang mendorong beliau membantu penduduk kampungnya, Magret berkata: “Saya suka membantu masyarakat kerana memang itu naluri saya.
“Apabila saya buat begini, sekurang-kurangnya para petani, golongan ibu atau suri rumah dapat berasakan bahawa mereka juga diperlukan dan boleh memberi sumbangan, selain boleh menjana pendapatan.
“Malah, satu kampung ini juga sudah macam satu keluarga, hidup harmoni bersatu padu dan saling membantu,” katanya.
Usahawan tani ini turut berterima kasih kepada LKM, Sosea dan badan bukan kerajaan lain seperti Yayasan Hasanah yang banyak membantu beliau dan penduduk kampung dari segi latihan, penyediaan mesin serta dana bagi membolehkan mereka mengorak langkah lebih jauh dalam industri koko.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial