AM

PERNAS, Focus Point Sumbang Cermin Mata Kepada 300 Pelajar Di Sungai Buloh - Ramanan

10/08/2024 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) bersama Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd (Focus Point) hari ini menyumbang cermin mata kepada 300 pelajar dari tiga sekolah di sekitar Sungai Buloh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata sumbangan tersebut melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rahman Putra, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Bukit Darah, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Subang.

Beliau berkata sumbangan cermin mata dan pemeriksaan mata secara percuma bagi tiga sekolah itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial koporat PERNAS, agensi di bawah Kementeri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama Focus Point untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan alat penglihatan, terutamanya golongan B40.

Menurutnya Focus Point telah menjalankan pemeriksaan mata bagi 855 pelajar di ketiga-tiga sekolah berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Focus Point kerana menjalankan aktiviti menjaga kesihatan mata murid. Sememangnya (kesihatan mata) perlu dijaga dari usia muda agar ia tidak bertambah buruk kelak," katanya pada sesi penyerahan sumbangan itu di Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Ramanan berkata beliau beriltizam menjadikan Sungai Buloh sebagai kawasan Parlimen yang paling sihat di Malaysia, dan antara inisiatif yang diambil adalah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan tersebut.

Katanya pihaknya akan menghantar doktor ke semua PPR di Sungai Buloh untuk memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk perumahan itu.

"Jika terdapat isu kesihatan yang serius, mereka akan diberikan bimbingan kesihatan percuma," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan