EKONOMI

Wakil Tesla Temui MITI 22 Ogos, Bincang Rancangan Pelaburan Di Malaysia - Zafrul

10/08/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Wakil daripada ibu pejabat Tesla di Amerika Syarikat akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 22 Ogos ini untuk membincangkan rancangan selanjutnya berkaitan pelaburan syarikat itu di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata persetujuan dengan Tesla sebelum ini adalah untuk melabur dalam ekosistem pengecasan, penyelidikan dan pembangunan serta sektor lain yang berkaitan.

“Berkaitan isu mengenai kilang Tesla (di Thailand) yang hangat diperkatakan ketika ini, setakat ini, maklumat yang diterima hanya laporan daripada pihak ketiga dan bukan daripada sumber rasmi Tesla. Namun, untuk berlaku adil kepada Tesla, mereka tidak pernah berjanji untuk membuka kilang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mini MITIday dan majlis pecah tanah dewan serba guna terbuka Kampung Angkat Madani di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hari ini. 

Tengku Zafrul berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pertemuan dengan wakil Tesla dan memastikan komitmen yang dijanjikan sebelum ini akan terus dipenuhi.

“Namun, saya ingin mengetahui apakah rancangan mereka seterusnya. Buat masa ini, perkhidmatan pusat servis Tesla sedia ada akan terus beroperasi seperti biasa,” kata beliau.

Setakat ini, Tesla telah membangunkan empat pusat pengalaman di Malaysia.

Syarikat automotif multinasional itu juga telah melepasi sasaran untuk memasang 50 unit pengecas apabila telah membangunkan 52 unit pengecas segera dengan kapasiti melebihi 180 kilowatt di pelbagai tempat di Lembah Klang, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan