AM

Program AET Risda Bantu Usahawan Pekebun Kecil Getah Tingkat Pendapatan

10/08/2024 10:54 PM

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang disediakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program pembangunan usahawan amat membantu dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui aktiviti perniagaan.

Seorang pekebun kecil yang juga pemilik perniagaan Mummy Jelita Empire, Che Norbi Yaacob, 63, berkata beliau menerima bantuan di bawah skim AET sebanyak RM10,000 pada 2011 bagi mengusahakan perniagaan makanan tradisional akok dan bahulu.

"Saya juga mendapat bantuan pelabelan sebanyak RM5,000 serta beberapa peralatan termasuk ketuhar, pengadun, meja kerja, penimbang digital, pengedap (sealer) kaki, acuan akok dan bahulu, mesin doh serta set dapur gas," katanya kepada Bernama selepas Program Lawatan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib di kediamannya di Jalan Penghulu, Kampung Bertam Baru, di sini.

Lebih menggembirakan, beliau berkata anaknya Mohd Khairul Anuar Ghazali, 37, turut mendapat bantuan di bawah skim AET sebanyak RM6,000 pada tahun lepas bagi projek Agromakanan Internet Benda (IoT) atau Agro@IOT Hidroponik Sayuran Berdaun iaitu sawi dan bayam, sekali gus menjadi perintis perusahaan itu di jajahan Gua Musang.

Che Norbi berkata beliau amat berterima kasih kepada RISDA kerana turut membuka peluang kepada ahli isi rumah pekebun kecil untuk meningkatkan pendapatan melalui perniagaan serta menggunakan kemahiran sedia ada, dengan memberi bantuan set hidroponik seperti takung saiz lapan, baja, cawan hidroponik, media cockpeat dan biji benih sawi.

Sementara itu, Pengurus ZS Agency Resources Sdn Bhd Suhaizan Said berkata program AET oleh RISDA banyak membantunya mengembangkan perniagaan pembungkusan minyak masak yang diusahakan.

"Program AET ini bukan setakat memberi peluang kepada generasi muda pekebun kecil memajukan diri, malah membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi kepada penduduk setempat.

"Kami mengusahakan kilang minyak masak ini sejak 2019 dan pada 2020 mendapat bantuan Program AET sebanyak RM20,000 berbentuk tangki simpanan besi tahan karat 20,000 liter,” katanya.

Suhaizan, yang merupakan anak kepada pekebun kecil RISDA berkata berbekalkan modal sendiri lebih RM1 juta, beliau telah memanfaatkan kelayakan memohon Program AET itu dan permohonannya diluluskan pada 2023.

Beliau berkata perniagaan pembungkusan minyak masak Cap Cincin 89, di Bandar Utama Gua Musang yang diusahakannya itu turut menerima ganjaran sebanyak RM50,000 setelah dinobatkan sebagai pemenang Program RISDA Groom Big, yang melibatkan pertandingan antara usahawan bimbingan agensi itu di Pusat Latihan RISDA (RISTEC).

Beliau juga bersyukur apabila sekali lagi menerima geran bantuan pembungkusan sebanyak RM10,000 daripada RISDA semasa program lawatan Manndzri ke premis perniagaannya hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan