EKONOMI

Duta EU Yakin Langkah Mula Semula Rundingan FTA Malaysia-EU Akan Dilaksana

11/08/2024 10:15 AM

Oleh Mikhail Raj Abdullah dan Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rokas yakin bahawa keputusan untuk menghidupkan semula rundingan berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) yang tertangguh akan dilaksanakan.

“Selepas memulakan penilaian semula tahun lepas, keputusan untuk menyambung kembali rundingan berkaitan MEUFTA mungkin mengambil masa, dengan tempoh maksimum beberapa bulan,” katanya yang akan menggalas tugas baharu di Macedonia Utara pada 1 Sept 2024, selepas empat tahun berkhidmat di Malaysia.

Rundingan mengenai FTA dimulakan pada Oktober 2010 yang melibatkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012, namun ditangguhkan berikutan keraguan Malaysia dalam beberapa aspek seperti minyak sawit, dasar perolehan, subsidi dan klausa kemampanan EU.

Menurut Rokas, hubungan perdagangan antara EU dan Malaysia adalah penting manakala 27 negara anggota EU pada masa ini merupakan sumber utama pelaburan langsung asing "walaupun tidak mempunyai FTA."

"Faktor ini, di samping pengeluar serta sektor perniagaan Eropah dan Malaysia yang inginkan perjanjian, menjadikannya sebab kukuh untuk memulakan semula rundingan MEUFTA yang terbantut," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggiatkan semula rundingan MEUFTA yang tertangguh selepas mengetuai misi perdagangan dan pelaburan yang membuahkan hasil ke Jerman pada Mac lepas, menyatakan Malaysia bersetuju menghidupkan semula rundingan mengenai pakatan perdagangan bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau.

 

RUNDINGAN SEMULA TERIMA SOKONGAN MELUAS 

 

“Terdapat potensi besar yang belum diteroka dan ini (MEUFTA) sesuatu aspek yang sepanjang empat tahun saya berkhidmat, saya telah usahakan untuk ditekankan semula dan menyambung kembali rundingan,” kata Rokas.

Sokongan hampir sebulat suara mengenai perkara ini diterima bukan sahaja daripada perniagaan EU yang beroperasi di Malaysia, industri EU dan Dewan Perniagaan Eropah, malah apa yang lebih penting adalah dorongan daripada perniagaan Malaysia yang beroperasi di sini, termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

"Jika kita menyambung semula (rundingan), kita boleh memuktamadkan segera. Kita perlu menumpukan perhatian serius mengenainya kerana kita tidak perlu membuang masa, dan banyak cabaran wujud di peringkat global,” katanya.

Beliau mengakui pastinya terdapat isu sensitif antara Malaysia dan EU.

“Tetapi yakinlah bahawa negara yang melakukan rundingan FTA dengan EU melihat manfaat pada akhir rundingan dan FTA yang terhasil adalah transformasi untuk ekonomi negara berkenaan," kata beliau. 

Malah, Rokas berkata Vietnam, sebuah republik sosialis dengan sistem satu parti yang diketuai oleh Parti Komunis, mencatat peningkatan satu pertiga bagi jumlah dan nilai perdagangan berikutan FTA dengan EU.

“Saya menjangkakan jumlah dan nilai perdagangan antara Malaysia dan EU adalah lebih tinggi berikutan FTA akan membuka potensi yang kita (Malaysia-EU) ada.

"Pada akhirnya, kesemuanya fleksibel serta tidak tetap dan boleh disesuaikan," katanya.

Menurut data EU, perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU berjumlah 44.7 bilion euro (RM218.14 bilion) pada 2023, menjadikan EU sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat.

Perdagangan antara EU dan Malaysia didominasi oleh produk perindustrian, jentera dan perkakasan.

Selain jentera dan perkakasan, EU mengimport terutamanya lemak dan minyak haiwan dan sayuran termasuk minyak sawit, produk kimia serta alat optik dan fotografi, serta mengeksport produk kimia.

Rokas berkata Malaysia sentiasa kekal sebagai sebuah negara yang mempunyai tarikan untuk melabur dalam kalangan syarikat EU memandangkan lokasi, infrastruktur sangat maju dan tenaga buruh mahir serta kos yang tidak terlalu tinggi.

Pasaran domestik EU, iaitu yang terbesar di dunia membabitkan 450 juta pengguna, mempunyai manfaat kepada perniagaan Malaysia dari segi akses pasaran.

 

EU TIDAK PERNAH KENAKAN SEKATAN MINYAK SAWIT

 

MEUFTA juga akan berperanan sebagai rangka kerja berstruktur untuk memperkukuh dan memanfaatkan kedua-dua ekonomi di tengah-tengah ketegangan geopolitik global dan ekonomi yang tidak menentu.

“Ini (MEUFTA) adalah perjanjian berstruktur yang akan memastikan sekiranya lebih banyak perselisihan atau masalah berlaku, anda boleh meminta bantuan EU dan kami juga boleh mengharapkan Malaysia.

“Saya berpendapat tidak mudah untuk kami melakukan yang terbaik untuk menambah baik situasi perdagangan dan pelaburan kami,” katanya.

Mengulas mengenai minyak sawit, Rokas berkata komoditi itu penting bagi EU, dengan EU sebagai destinasi eksport ketiga terbesar bagi Malaysia selepas China dan India.

"Tidak pernah ada larangan terhadap minyak sawit dan tidak akan ada larangan sedemikian," katanya menafikan dakwaan laporan dan spekulasi media.

Bidang lain yang berpotensi dalam kerjasama selanjutnya melalui FTA adalah pembuatan, semikonduktor, peralatan elektrik, komoditi, perkhidmatan serta industri mampan.

Antara syarikat utama EU di Malaysia adalah Siemens, Braun, Airbus, Infineon, AT&S, Stellantis, Osram, Unilever, Royal Shell, Royal Dutch dan Total Energy.

“Kami telah menyatakan hasrat yang jelas daripada EU untuk menyambung semula rundingan kepada kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Oleh itu, kini terserah kepada Malaysia untuk langkah selanjutnya dan kami sedang menunggu MITI memberikan maklum balas.

“Kami sedang meninjau perkongsian baharu yang dipercayai di seluruh dunia dan berharap untuk menjadi rakan kongsi yang erat pada sepanjang tempoh Malaysia sebagai pengerusi Asean pada 2025,” katanya.

Bagi negara lain di Asean, Rokas berkata, EU memuktamadkan FTA dengan Singapura pada 2019 dan Vietnam pada 2020, dan dijangka berakhir dengan Indonesia menjelang akhir 2024.

 “Selain itu, kami mempunyai dua rakan kongsi baharu yang berminat iaitu Thailand dan Filipina yang telah kami mulakan rundingan,” kata beliau.

Menurutnya, Malaysia adalah satu-satunya ekonomi utama yang belum merundingkan FTA dengan EU baru-baru ini.

“Dunia ini amat tidak menentu. Malaysia adalah negara yang stabil, dan tanpa keraguan, EU akan melakukan yang terbaik untuk menambah baik situasi perdagangan dan pelaburan (dua hala),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan