JENAYAH & MAHKAMAH

967 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu Fokus Ubah Suai Motosikal, Samseng Jalanan

11/08/2024 10:32 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 967 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi bersepadu di lima lokasi sekitar ibu negara yang bermula 11 pagi semalam hingga 5 pagi tadi.

Operasi yang disertai 213 pegawai anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan itu dilaksanakan di Jalan Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Chow Kit dan Sentul serta Jalan Tun Razak menghala Ampang dan Bulatan Pahang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata 2,397 kenderaan diperiksa dalam operasi yang memberi tumpuan kepada motosikal yang melakukan pengubahsuaian kenderaan sehingga menyebabkan gangguan bunyi serta mencegah samseng jalanan.

"Kita menjalankan operasi setiap minggu sekitar pusat bandar raya tetapi mendapati masih ada juga aduan daripada orang awam mengenai terdapat gangguan daripada segi bunyi dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Saman dikeluarkan terhadap pemilik motosikal ini kerana gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan," katanya kepada pemberita pada operasi bersepadu di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Azry Akmar berkata selain kesalahan ubah suai kenderaan, ada juga pengguna jalan raya dikesan tidak memiliki lesen memandu sdrta cukai jalan tamat tempoh dan pihaknya turut menyita 29 kereta dalam operasi tersebut atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata 21 individu berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan ada yang terlibat dengan dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan