AM

Sarawak Tanam 35 Juta Pokok, Tertinggi Berbanding Negeri Lain

11/08/2024 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sarawak berjaya menanam 35 juta pokok sebagai sebahagian daripada inisiatif Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2020-2025 yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara dan memulihara kawasan hutan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata jumlah itu meletakkan Sarawak di tangga pertama sebagai negeri paling gigih menjayakan kempen itu berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan memulihkan ekosistem terjejas,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Karnival Alam Kita Sarikei 2024 di Dewan Sentral Sarikei, Sarawak semalam. Teks ucapannya disampaikan kepada media di sini.

Beliau berkata Sarawak juga memainkan peranan penting melalui pemeliharaan hutan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim melalui Sumbangan Ditentukan Negara (NDC).

Huang berkata di bawah Perjanjian Paris, Malaysia berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 berbanding tahap pada tahun 2005 dan usaha itu melibatkan pelbagai sektor termasuk tenaga, pengangkutan, dan pertanian.

Mengenai Karnival Alam Kita, Huang berkata objektif penganjurannya adalah bagi meningkatkan dan mempromosikan kesedaran orang awam tentang amalan kelestarian selain memperkukuh kolaborasi NRES dengan para pemegang taruh kementerian.

“Penganjuran Karnival Alam Kita ini juga merupakan satu lambang komitmen Kerajaan MADANI dan NRES untuk memastikan khazanah alam yang diamanahkan kepada kita semua hari ini kekal lestari untuk generasi akan datang.

Beliau berkata NRES mengambil langkah untuk ‘turun padang’ bersama jabatan dan agensi, serta pemegang taruh utama melalui karnival itu, dengan matlamat memupuk nilai budaya hijau kepada masyarakat dan meningkatkan literasi kelestarian alam sekitar dalam kalangan orang awam.

Huang berkata selain menjadi platform bagi kementerian mendidik orang awam, penganjuran karnival itu juga memberi ruang kepada NRES untuk mendapatkan input dan maklum balas di peringkat akar umbi bagi kementerian itu menambah baik perkhidmatannya dan jabatan serta agensi di bawahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan