AM

Paras Air Di Dua Empangan Pulau Pinang Menyusut

11/08/2024 03:30 PM

GEORGE TOWN, 11 Ogos (Bernama) -- Hujan sejak beberapa hari lepas dilihat masih belum cukup untuk menambah stok simpanan semasa air mentah di dua empangan utama negeri ini.

Bacaan semasa yang direkodkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini menunjukkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam menyusut 1.2 peratus kepada 30.0 peratus berbanding 31.2 peratus direkodkan Khamis lepas.

Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif turut menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 27.4 peratus pada Khamis kepada 26.6 peratus hari ini.

Sementara itu, kapasiti air di sebuah lagi empangan iaitu Empangan Mengkuang berada pada paras normal iaitu 86.2 peratus.

Selasa lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan baki stok simpanan semasa air mentah di Empangan Muda, Kedah; Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang menyusut dan berada pada paras bahaya dengan bacaan dicatatkan masing-masing 7.44 peratus, 16.43 peratus dan 28.20 peratus, setakat 5 Ogos.

Lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang 59.99 peratus.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan berkata lima empangan tersebut ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dengan 32.40 peratus, Empangan Malut, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah masing-masing mencatatkan 37 peratus, 37.02 peratus dan 53.39 peratus, serta Empangan Timah Tasoh di Perlis sebanyak 38.49 peratus.

Sebelum ini, PBAPP merayu hampir 600,000 pengguna air domestik berdaftar di negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus hingga musim hujan bulan depan bagi mengelakkan berlakunya krisis air.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata pengurangan 10 peratus dalam penggunaan domestik akan dapat membantu menjimatkan 50 juta liter sehari (JLH).

PBAPP juga mengaktifkan pelan pengurusan krisis bagi meminimumkan kesan isu taburan hujan rendah serta memastikan Pulau Pinang mempunyai air yang mencukupi sehingga musim hujan pada September.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan