KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Seramai 25 orang berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Pisang, Selayang dekat sini, kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Mereka bagaimanapun berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari dan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan sebaik sampai di lokasi, didapati seramai 25 orang mangsa terperangkap di kepala air (terowong sungai) dan kerja-kerja membawa keluar mangsa telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Suhaimi Samoory ketika dihubungi Bernama mengesahkan operasi menyelamatkan mangsa terdiri daripada 20 warga tempatan dan lima warga Indonesia, dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun, telah selesai.
“Ketika kejadian, kesemua 25 mangsa sedang beriadah dan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Karak menggunakan sungai itu dan terperangkap di terowong sungai terbabit.
“Terdapat satu lagi kumpulan seramai 39 orang yang menggunakan terowong berkenaan dari arah Karak menghala Kuala Lumpur dan kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa bantuan pihak bomba,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial