AM

Malaysia Tidak Boleh Leka Dalam Aspek Keselamatan - Ahmad Zahid

11/08/2024 07:19 PM

MELAKA, 11 Ogos (Bernama) -- Landskap ancaman keselamatan global yang tidak menentu menuntut Malaysia tidak leka walaupun tersenarai dalam negara ke-10 paling selamat mengikut Indeks Keamanan Global (GPI) yang dikeluarkan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia perlu berhati-hati menghadapi ancaman dalam dan luar yang merangkumi keganasan yang bersifat 'lone wolf' serta radikalisasi melalui media sosial dan propaganda ekstremis yang boleh mempengaruhi individu untuk terlibat dalam aktiviti keganasan. 

Beliau berkata melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) yang diperkenalkan harus digerakkan berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak merentasi sektoral yang memerlukan tindakan intergrasi daripada aspek dasar, strategi, tindakan operasi dan pengurusan sumber. 

"COMSEC dilihat sebagai pendekatan paling sesuai kerana ia merangkumi pelbagai aspek dan perlu menjadi tonggak kepada strategi keselamatan negara, ia membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama secara proaktif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Program Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) 2024 di Melaka Energy Park, Sungai Udang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.  

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata dalam usaha kerajaan menangani ancaman yang kini bersifat kompleks dan luar jangka, enam teras Malaysia MADANI perlu diketengahkan dalam membentuk dasar.

Ahmad Zahid berkata selain itu eksesais seperti EX COMSEC boleh menjadi ruang untuk menguji dan menilai keupayaan serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam setiap tindakan mengikut pelan kecemasan agensi masing-masing.

Beliau berkata ia juga boleh mengenal pasti kelemahan dan jurang dalam kalangan kementerian, agensi, sektor swasta dan komuniti dalam prosedur operasi standard (SOP) dan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP). 

"Ingin saya tegaskan bahawa latihan amal seumpama ini bukan sahaja penting untuk melindungi negara, malahan bagi keselamatan kita secara individu dan komuniti secara keseluruhannya, dan pelaksanaannya perlu diteruskan. 

"Justeru, marilah kita mengambil peluang ini untuk belajar, berlatih dan meningkatkan kesiapsiagaan kita dan dengan kerjasama dan usaha bersama, kita dapat memastikan objektif keselamatan menyeluruh dapat dicapai dan kita mampu bersedia menghadapi sebarang cabaran dan ancaman keselamatan yang mendatang," katanya.

Latihan EX COMSEC 2024 disertai 33 agensi membabitkan 1,700 peserta terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia. 

EX COMSEC 2024 merupakan program kesinambungan daripada pelaksanaan program pada tahun 2023 yang berkonsepkan Table Top Exercise (TTX) dan dijalankan secara Field Training Exercise dengan melibatkan atur gerak aset-aset keselamatan di lapangan selama dua hari bermula semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan