AM

Tunku Azizah Berangkat Hadiri Sambutan Hari Orang Asli Sedunia

11/08/2024 08:17 PM

PEKAN, 11 Ogos (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2024 Peringkat Pahang di Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang di sini, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Datuk Sapiah Mohd Nor sebelum dipersembahkan tarian sewang oleh masyarakat Orang Asli Pekan.

Tunku Azizah turut menyantuni masyarakat Orang Asli yang digelar baginda sebagai ‘orang kita’,

“Ketika kecil Almarhum ayahanda (Sultan Iskandar Sultan Ismail) bawa saya ke perkampungan mereka di Johor, jadi daripada kecil sampai saya kahwin tak kekok nak bergaul dengan ‘orang kita’. 

"Saya juga banyak mempelajari masakan ‘orang kita’, yang mana saya merasakan masakan mereka paling sihat kerana tak banyak guna minyak dan hanya rebus atau bakar," titah baginda. 

Pada majlis itu, Tunku Azizah yang gemar memasak turut berkenan menyediakan hidangan Orang Asli iaitu daging salai masak randau dan ikan seluang kering goreng.

Baginda turut meluangkan masa menyaksikan pertandingan futsal dan melawat reruai menjual pelbagai kraftangan selain mengurniakan bakul makanan kepada ketua isi rumah Kampung Permatang Keledang, di sini. 

 Di Pahang, seramai 95,382 Orang Asli direkodkan, iaitu jumlah terbesar di Semenanjung Malaysia, yang terbahagi kepada tiga suku kaum utama iaitu Senoi, Melayu Proto serta Negrito.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan