JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Anjur Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan, Pengauditan

11/08/2024 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Bahagian Analisa Kewangan (BAK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan menganjurkan Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan bagi memerangi jenayah kewangan terutama rasuah dan salah guna kuasa.

Program yang julung kali melibatkan Jabatan Audit Negara, Akauntan Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Institut Akauntan Malaysia, Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia serta Universiti Multimedia, akan dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Rabu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Pengarah BAK SPRM Mohd Azwan Ramli berkata program itu akan turut disertai pegawai SPRM, agensi kerajaan dan badan berkanun, universiti serta badan profesional, melibatkan sesi perkongsian pengalaman dan sesi libat urus bertujuan untuk membentuk kerjasama strategik melalui aktiviti yang akan dirancang.

Beliau berkata semua pihak yang hadir juga akan berkongsi pandangan dan kepakaran untuk mengenal pasti amalan terbaik dalam bidang perakaunan serta pengauditan di negara ini, bagi menangani jenayah kewangan terutamanya jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Menerusi program ini kelak, secara tidak langsung, menyokong hasrat kerajaan dalam melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti di dalam sektor awam dan swasta.

“Usaha ini juga dilihat selari dengan kehendak Artikel 12 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) memperkukuh piawaian perakaunan dan pengauditan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azwan berkata Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Akauntan Negara Malaysia Nor Yati Ahmad dan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, antara yang akan hadir pada majlis perasmian program itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan