AM

MyInvois Terima  Maklum Balas Positif, Syarikat Belum Mandatori Turut Cuba -- Lim 

12/08/2024 08:55 AM

JOHOR BAHRU, 12 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan sistem MyInvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Ogos lepas mendapat maklum balas positif, termasuk dari syarikat-syarikat yang belum berada dalam kategori mandatori.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ini berikutan terdapat banyak syarikat yang telah mencuba untuk menggunakan sistem tersebut, walaupun fasa pertama pelaksanaannya hanya melibatkan syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

“Kita sering menghadapi pertanyaan daripada peniaga kecil, terutama dalam kategori ketiga, iaitu pelaksanaan yang melibatkan semua lapisan pembayar cukai pada Julai 2025, mengenai cara mengeluarkan e-invois.

"Meskipun Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengumumkan bahawa peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-invois, namun banyak syarikat di luar kategori mandatori telah mula menggunakan Portal MyInvois," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Madani mengenai e-invois, Budi MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tahap kesedaran dan maklum balas yang diterima susulan pelaksanaan sistem tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru pembayar cukai untuk cuba membiasakan diri menggunakan sistem tersebut lebih awal demi kemudahan pada masa akan datang, serta memastikan segala maklumat yang diperlukan dikemas kini dengan tepat dan lengkap.

LHDN dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan e-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan 5,000 syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos.

Fasa kedua akan bermula pada 1 Jan 2025, melibatkan syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta dan seterusnya melibatkan semua pembayar cukai mulai 1 Julai 2025.

Sabtu lepas, Lim dipetik sebagai berkata lebih 3,500 syarikat telah mengemukakan 3.5 juta invois menerusi fasa pertama pelaksanaan MyInvois.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan