AM

Melaka Agih 84,000 Jalur Gemilang, Semarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan

12/08/2024 01:12 PM

ALOR GAJAH, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka mengagihkan kira-kira 82,000 Jalur Gemilang ke seluruh negeri itu bagi menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata Jalur Gemilang tersebut diagihkan ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

"Saya anggarkan kira-kira 3,000 Jalur Gemilang diedarkan di setiap DUN sebelum diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

"Justeru saya menyeru agar orang ramai untuk turut terlibat dalam kempen ini bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri Melaka di Dataran Keris di sini hari ini.

Mengulas mengenai Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dan Setahun Ekonomi MADANI yang akan diadakan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru dari 15 hingga 17 Ogos ini, beliau berkata Melaka akan menghantar 250 peserta bagi menyertai program berkenaan.

Katanya ia bagi membantu kerajaan Persekutuan menyebarluaskan dasar-dasar semasa ke peringkat akar umbi dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan