EKONOMI

MIDF Amanah Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPP Pada 4.2 Peratus Pada 2024

12/08/2024 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada 4.2 peratus tahun ini (2023: +0.7 peratus) apabila aktiviti pengeluaran bertambah kukuh pada suku kedua 2024.

MIDF Amanah dalam satu nota penyelidikan berkata ia menjangkakan permintaan luaran akan pulih, menyokong pengeluaran yang lebih tinggi bagi pelbagai produk eksport termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E).

Pengeluaran produk berorientasikan domestik juga akan meningkat dengan penggunaan peringkat tempatan semakin meningkat, kata bank pelaburan itu.

Bagaimanapun, MIDF Amanah bimbang mengenai inflasi lebih tinggi akan menjejaskan sentimen pengguna dan rancangan perbelanjaan bersama-sama dengan risiko penurunan yang lain.

“Sektor luaran secara serentak boleh dilanda kejatuhan ketara dalam permintaan luar negara, memandangkan kebimbangan baru-baru ini mengenai pertumbuhan lemah di China dan kemelesetan Amerika Syarikat (AS).

“Kami juga memantau konflik geopolitik yang berlaku sekarang, ia boleh mengganggu aliran perdagangan dunia dan rantaian bekalan global,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), IPP Malaysia meningkat lima peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, mengekalkan momentum positif selama enam bulan berturut-turut, didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan konsisten.

Pembuatan berkembang sebanyak 5.2 peratus (Mei 2024: 4.6 peratus) dengan pemulihan 4.9 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan (Mei 2024: -6.9 peratus) serta pertumbuhan 3.5 peratus dalam sektor elektrik (Mei 2024: 4.5 peratus).

Hong Leong Investment Bank Bhd berpendapat Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan global menguncup kepada 49.7 pada Julai 2024 (Jun: 50.8) dalam persekitaran penurunan dalam pesanan baharu dan gangguan rantaian bekalan.

"Walaupun mengalami gangguan, kami terus menjangkakan aktiviti pembuatan Malaysia kekal mencatatkan pertumbuhan, mendapat manfaat daripada kesan asas yang rendah dan pertumbuhan mampan dalam pengeluaran berorientasikan domestik dalam persekitaran peningkatan berterusan bagi perbelanjaan domestik," katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd menjangkakan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia berkembang sebanyak 5.4 tahun ke tahun pada 2024, disokong oleh pemulihan dalam permintaan global dan sektor elektronik yang kukuh.

Pada masa sama, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global diunjurkan mencecah 3.0 peratus pada 2024, menyediakan persekitaran luaran yang menyokong.

“Keterbukaan perdagangan Malaysia seperti yang dicerminkan dalam nisbah perdagangan barangan kepada KDNK sebanyak 144.7 peratus pada 2023, menggariskan kegoyahan kepada kitaran ekonomi global, menjadikan unjuran ini kritikal kepada trajektori ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan