EKONOMI

Semakan Gaji Perkhidmatan Awam Menguntungkan Sektor Auto

13/08/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Semakan gaji perkhidmatan awam yang akan datang bakal menguntungkan sektor automobil kerana 1.5 juta penjawat awam akan mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dan lebih mudah menerima kelulusan bank, kata AmInvestment Bank.

Oleh itu, bank pelaburan itu telah menyemak ke atas jumlah volum industri (TIV ) pada 2024 kepada 750,000 berbanding 740,000 sebelum ini.

“Gaji yang lebih tinggi secara automatik bermakna nisbah keberhutangan yang lebih baik dan kami percaya pembiaya pinjaman kereta dengan senang hati akan meluluskan pemohon pinjaman baharu.

“Kami yakin Perodua serta Proton akan menikmati permintaan yang lebih besar memandangkan mereka merupakan jenama paling popular dalam kalangan penjawat awam,” katanya menerusi laporan kemas kini sektor tersebut hari ini, sambil menambah jenama lain mungkin tidak terlalu terkesan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa gaji penjawat awam akan dinaikkan sebanyak 15 peratus kepada 43 peratus menjelang penghujung tahun 2024. Butiran akhir akan diumumkan menjelang 16 Ogos depan.

AmInvestment Bank berkata penerima manfaat utama ialah MBM Resources (yang memiliki 20 peratus dalam Perodua), Sime Darby (yang menguasai Perodua sebanyak 38 peratus) dan DRB HICOM yang mempunyai 50 peratus kepentingan dalam Proton.

Ia juga menaikkan unjuran pendapatan MBM Resources bagi tahun kewangan 2024 kepada tahun kewangan 2026 masing-masing sebanyak 3.0 peratus, 5.2 peratus dan 3.7 peratus, berdasarkan jangkaan semakan gaji kakitangan awam yang bakal melonjakkan jualan kereta terutama bagi segmen kereta mampu milik iaitu model Perodua Axia dan Bezza. 

Bank telah mengekalkan saranan “Neutral” pada sektor itu tetapi dengan kecenderungan menaik.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan