PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Penyediaan insentif untuk memperkasakan ekonomi digital dan pembangunan bakat berkemahiran antara fokus Kementerian Digital dalam Belanjawan 2025.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pada era pendigitalan kini, adalah penting sokongan diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agar mereka dapat memanfaatkan teknologi untuk mengukuhkan perniagaan masing-masing.
“Permintaan yang berbangkit ialah kaedah insentif boleh digunakan untuk menggalakkan lebih ramai lagi peniaga kecil atau industri kecil menggunakan teknologi sedia ada.
“Saya akan bawa perkara itu ke depan supaya kita dapat bincang perkara ini dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya satu keputusan boleh dibuat (mengenai) sejauh mana kita boleh beri insentif, jenis insentif, sama ada dari sudut pencukaian atau insentif lain, kita akan lihat dan bawa perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus tamat Sesi Libat Urus Kementerian Digital bersama Pemegang Taruh bagi Cadangan Inisiatif Belanjawan 2025 yang antara lain turut dihadiri oleh pihak Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom).
Mengenai pembangunan bakat, Gobind berkata ia merangkumi bakat dalam bidang digital dan persediaan tenaga kerja mahir bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memenuhi permintaan industri.
Beliau berkata kesemua hasil sesi libat urus berkenaan akan dibentangkan kepada MOF pada 23 Ogos ini dengan harapan ia akan dipertimbangkan dan diluluskan dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial