AM

Maxis, Singtel Ganding Bahu Percepat Transformasi Digital Perusahaan

14/08/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Maxis bekerjasama dengan Singtel untuk memperkenalkan platform semua dalam satu yang pertama di Malaysia merangkumi orkestrasi rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir, awan dan perkhidmatan berasaskan paltform Paragon oleh Singtel untuk rangkaian telekomunikasi. 

Maxis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan platform ini akan menjadikan teknologi 5G-Advanced (5G-A) dan 5G, pengkomputeran pinggir dan berbilang awan lebih mudah diakses perniagaan Malaysia selain mempercepat transformasi digital merentasi pelbagai vertikal seperti pembuatan, logistik, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam .

“Kerjasama itu dimeterai semasa Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memacu ekosistem pengkomersialan negara.

"Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng dan Ketua Pegawai Teknologi Singtel Digital InfraCo Manoj Prasanna Kumar telah diadakan di pameran Maxis di acara berkenaan," menurut kenyataan itu.

Disediakan di Malaysia melalui Maxis Business iaitu bahagian perusahaan Maxis, platform ini akan membolehkan perkhidmatan pengkomputeran pinggir 'atas permintaan' yang memberikan pelanggan akses kepada pengkomputeran kependaman rendah, GPU sebagai Perkhidmatan (GPUaaS) dan perkhidmatan storan.

Dengan keupayaan pengkomputeran pinggir berbilang akses (MEC), data daripada pengguna akhir dan peranti dapat diproses di pinggir rangkaian. Keupayaan ini digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi menyediakan pemprosesan masa nyata dan kebolehan membuat keputusan pintar.

Menurut kenyataan itu, Paragon menawarkan suatu pasaran yang berkuasa untuk pelanggan dan rakan kerjasama Maxis, lantas menjadikannya mudah bagi perusahaan membuat penghirisan rangkaian atas permintaan serta menggunakan aplikasi 5G yang bermisi kritikal pada MEC - semuanya dengan satu klik butang.

Sementara itu, Goh dalam kenyataan berkenaan berkata: "kerjasama kami akan memenuhi keperluan pelanggan dengan menyediakan platform 5G bersepadu yang memudahkan orkestrasi merentas persekitaran rangkaian dan awan. 

"Platform ini membolehkan akses, kelajuan dan fleksibiliti lebih besar untuk perusahaan mengguna pakai serta mengurus penyelesaian 5G dan pengkomputeraan awan dengan lancar. Ini akan membantu mereka menumpu kepada perniagaan teras mereka, mengukuhkan lagi daya saing mereka di peringkat global.

"Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu yang terkemuka di negara ini, kami berharap untuk menyegerakan penerimagunaan 5G-A dan 5G serta pendigitalan sebagai rakan niaga digital pilihan untuk perniagaan Malaysia," kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Singtel Digital InfraCo Bill Chang dalam kenyataan yang sama berkata Singtel menerajui peralihan itu dengan menjalin pelbagai perkongsian strategik dengan syarikat telekomunikasi secara global melalui platform Paragon yang memainkan peranan penting dalam penerimagunaan ini.

"Paragon membolehkan pengewangan lebih pantas bagi infrastruktur 5G dengan mengurangkan kerumitan syarikat telekomunikasi untuk menyediakan dan menskalakan kes penggunaan 5G.

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis untuk bersama mengembangkan serta memperdalam peluang perkhidmatan 5G dan pengewangan pengkomputeran pinggir di Malaysia," katanya.

Maxis berkata keupayaan platform itu boleh memberi faedah kepada perniagaan melalui pelbagai penggunaan perusahaan merentasi fungsi berbeza yang memerlukan pemprosesan data berkelajuan tinggi, seperti analitik masa nyata, realiti campuran dan sistem berautonomi.

Platform ini akan dihoskan dan disediakan secara tempatan di Malaysia untuk memenuhi keperluan keselamatan siber dan kedaulatan data bagi perniagaan Malaysia.

Platform yang dibina dan dikuasakan oleh Paragon kini berjaya digunakan di empat pasaran ASEAN dengan Maxis membawa keupayaannya secara eksklusif ke Malaysia dan boleh mudah dikendalikan oleh syarikat multinasional dengan pengalaman bersama dan seni bina yang disatukan di seluruh rantau ini.

Pelancaran ini juga tepat pada masanya memandangkan persiapan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada 2025 menyaksikan negara ini bakal memainkan peranan lebih aktif untuk menerajui aspirasi ekonomi serta digital bagi kawasan serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan