EKONOMI

Ahli Ekonomi Yakin Pertumbuhan KDNK Sekitar 5.8 Peratus Pada Suku Kedua 2024

14/08/2024 03:35 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kalangan ahli ekonomi yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 akan berkembang pada 5.8 peratus berbanding 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Mereka berpendapat pertumbuhan KDNK akan dirangsang oleh aktiviti perindustrian yang rancak, harga minyak sawit mentah lebih tinggi, pengangguran yang berkurangan dan peningkatan perbelanjaan.

Ahli ekonomi turut bersetuju ekonomi berada dalam kedudukan baik untuk berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus bagi keseluruhan 2024, dengan badan perakaunan memaklumkan, keyakinan global terhadap Malaysia meningkat dengan ketara berikutan telah mempamerkan daya tahan ekonomi yang jelas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 akan sejajar dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata momentum pertumbuhan ekonomi akan berterusan sehingga suku kedua ​​2024, mengatasi pertumbuhan suku pertama 2024 sebanyak 4.2 peratus.

Mohd Afzanizam berkata data semasa menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang baik pada Jun.

Beliau menekankan bahawa negara mencatat pertumbuhan lebih tinggi dalam indeks volum perkhidmatan dan indeks pengeluaran perindustrian, masing-masing meningkat 6.7 peratus dan 4.5 peratus, pada suku kedua 2024.

Beliau berkata pengeluaran minyak sawit mentah naik dua angka kepada 15.9 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, menunjukkan peningkatan pendapatan eksport daripada sumber pendapatan komoditi bukan minyak utama negara.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus untuk tiga suku berturut-turut, tetapi jumlah pengangguran susut kepada 557,800 pada suku kedua 2024 daripada 561,100 pada suku pertama 2024.

“Sehubungan itu, pasaran pekerjaan Malaysia mungkin telah mencapai status pekerjaan penuh, menandakan terdapat banyak pekerjaan boleh diisi dan lebih ramai rakyat mempunyai pekerjaan dan meraih pendapatan.

“Pengenalan akaun pengeluaran fleksibel oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, di samping program pemindahan tunai, akan memungkinkan trajektori pertumbuhan yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

“Sehubungan itu, KDNK suku kedua 2024 sewajarnya lebih tinggi berbanding suku sebelumnya,” kata beliau.

Professor of Practice dan Pengarah Pusat Penyelidikan Perbankan Pusat di Asia School of Business Ozer Karagedikli senada dengan Mohd Afzanizam, sambil menyatakan KDNK yang diunjur berkembang 5.8 peratus, mendorong keyakinan terhadap keteguhan ekonomi negara.

Karagedikli berkata Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang besar, justeru kadar pertumbuhan antara 4.0 dan 5.5 peratus mungkin boleh dicapai.

Beliau berkata memandangkan julat berkenaan adalah luas, keadaan sedemikian adalah rumit berikutan untuk mencapai pertumbuhan konsisten hampir enam peratus dijangkakan mencabar.

“Ia tidak semudah itu memandangkan untuk mencapai kadar pertumbuhan yang konsisten hampir 6.0 peratus tahun demi tahun adalah munasabah, tetapi mungkin berdepan cabaran, tanpa pembaharuan ketara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Kaji Selidik Situasi Ekonomi Global oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Pengurusan mendapati keyakinan akauntan dan profesional kewangan global meningkat terhadap ekonomi Malaysia, terutama bagi suku kedua 2024.

ACCA dalam kenyataan berkata rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia, telah menunjukkan daya tahan yang ketara, memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju aliran ekonomi serantau dan keutamaan risiko.

“Malaysia, sebagai sebahagian daripada rantau Asia Pasifik, telah mencerminkan arah aliran positif ini. Sektor pembuatan negara telah menyaksikan peningkatan yang ketara, didorong oleh peningkatan permintaan global dan kemajuan teknologi,” katanya.

Menurutnya tinjauan itu mendapati inisiatif kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk merangsang ekonomi digital dan meningkatkan infrastruktur terus menyokong pertumbuhan itu.

 “Dasar utama seperti Aspirasi Pelaburan Nasional dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memacu daya tahan ekonomi,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed turut mengunjurkan KDNK bergerak antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada suku kedua 2024, didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh secara keseluruhan, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global, risiko geopolitik dan kejatuhan pasaran ekuiti di barat.

Beliau berkata ekonomi global yang tidak menentu telah menyebabkan ekonomi Malaysia kekal sebagai penerima manfaat dan terus menarik pelaburan berikutan pelabur akan berpindah ke negara yang mempunyai pelaburan infrastruktur yang kukuh.

“Penggunaan dan pelaburan (antara petunjuk KDNK) dijangka teguh, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi. Sementara itu, ketibaan pelancong, teknologi litar bersepadu (ICT), dan eksport komoditi memberi isyarat positif kepada pasaran,” katanya.

Pada 19 Julai, DOSM mengumumkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya serta  pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi separuh pertama 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 tahun lepas.

Katanya ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan, disokong oleh faktor domestik dan didorong oleh eksport, dengan prospek yang positif sepanjang tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan data rasmi KDNK suku kedua 2024 pada Jumaat.

 

Malaysia berada di landasan tepat capai unjuran KDNK 2024

 

Mohd Afzanizam berpendapat Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran julat KDNK antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus tahun ini.

“Risiko kepada pertumbuhan agak seimbang buat masa ini berikutan ekonomi utama masih berkembang dalam zon positif. Apa yang penting pada masa ini adalah risiko kenaikan yang terhasil daripada rasionalisasi subsidi bahan api, terutama RON95,” katanya.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata pendirian dalam kalangan perniagaan dari segi penetapan harga menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan harga, yang akan diterjemahkan kepada jangkaan inflasi yang lebih tinggi.

“Sehubungan itu, BNM dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari semasanya memandangkan ia perlu mencapai keseimbangan yang wajar antara menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengelak risiko inflasi lebih tinggi.

“Pada 3.00 peratus, OPR dilihat berada pada kedudukan wajar untuk BNM terus menyokong ekonomi,” kata beliau. 

Sementara itu, Shan mengunjurkan KDNK Malaysia pada 2024 menokok daripada 4.3 peratus kepada 4.8 peratus, didorong oleh kestabilan makroekonomi, harga komoditi yang lebih tinggi, tarikan (ICT)/semikonduktor dan geografi yang strategik.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada kerajaan dari segi mengukuhkan bahagian fiskal lembaran imbangan.

Shan berkata, di samping itu, dari segi geografi, Malaysia terletak dalam kedudukan strategik memandangkan 80 peratus daripada perdagangan China bergerak melalui Selat Melaka manakala 25 peratus daripada bekalan minyak global turut merentas laluan laut yang sama.

“Ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi ideal kepada ramai pelabur mempertimbangkan negara ini bagi pelaburan jangka panjang dan penggunaan sumber,” katanya.

Menurut BNM, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan peningkatan permintaan luaran.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, bank pusat berkata pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan tambahan daripada jangkaan pemulihan dalam eksport.

“Pelancongan dijangka terus bertambah baik manakala pelaksanaan projek berbilang tahun yang baharu dan sedia ada oleh sektor swasta dan awam akan menyokong aktiviti pelaburan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan dalam negeri masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri,” menurut BNM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan