POLITIK

PRK Nenggiri: Ku Li Janji Awie Akan Jadi Wakil Rakyat Terbaik

14/08/2024 05:55 PM

GUA MUSANG, 14 Ogos (Bernama) -- Calon Barisan Nasional(BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal menjaga kebajikan penduduk, kata veteran UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh yang juga Pengarah PRK DUN itu untuk BN berkata Mohd Azmawi Fikri sebelum ini telah melalui proses pembelajaran yang panjang dari segi cara untuk berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat.

“Jadi tiada perkara baru atau asing bagi dia. Kalau Awie (Mohd Azmawi Fikri) dipilih, saya berani janji dia akan menjadi seorang wakil rakyat yang baik dan boleh berkhidmat untuk rakyat. 

“Setahu saya, dia orang yang boleh diharap dan dia bukan sahaja Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, tetapi juga sudah dinaikkan status menjadi Ketua Pemuda Negeri dan potensi dia pun bagus,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyantuni kira-kira 30 veteran UMNO di Jeram Tekoh, di sini hari ini.

PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Awie sebelum ini dilapor telah ‘berkhidmat’ lebih 10 tahun untuk penduduk di kawasan itu ketika bekerja bersama bekas Ahli DUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra disapa sebagai Ku Li berkata beliau ingin melihat lebih ramai penglibatan anak muda seperti Awie untuk menjadi pelapis pemimpin masa hadapan. 

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan