AM

Gabungan Kerjasama Persekutuan, Tiga Negeri Pastikan Kelancaran PMR Zon Selatan

14/08/2024 11:26 PM

JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) -- Gabungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan memastikan kelancaran persiapan Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Selatan 2024 yang bermula esok hingga Sabtu ini di Dataran UTM, Skudai di sini.

Kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Bahagian Khidmat Pengurusan kepada Bernama memaklumkan pihak urus setia berusaha melakukan langkah-langkah penting termasuk raptai petugas yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan program serta menyusun jadual acara, menentukan lokasi dan memastikan aktiviti selaras dengan matlamat program.

“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti tempatan untuk memastikan sokongan dan penglibatan optimum serta menggubal strategi komunikasi untuk mempromosikan program kepada rakyat melalui media dan laman sesawang,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Ekonomi Dr Nor Azlina Ariffin berkata persiapan program itu di peringkat akhir dengan tahap lebih 95 peratus dan tumpuan hanya melibatkan beberapa lokasi seperti pentas utama, reruai kementerian serta tapak jualan.

Seramai 100,000 pengunjung dijangka menghadiri program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Johor itu, yang merupakan kesinambungan Program Setahun Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023.

Program itu menjadi ruang untuk kerajaan memaklum serta menguar-uarkan pencapaian dan manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif serta komitmen berterusan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri.

Ia turut menyediakan lebih 170 perkhidmatan langsung daripada 34 kementerian dan agensi kepada rakyat seperti penukaran topi keledar percuma, diskaun saman trafik 50 peratus serta Jualan MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis penutup program tiga hari itu Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan