JENAYAH & MAHKAMAH

Penyanyi Yasin Dipenjara Seumur Hidup, 16 Kali Sebatan

22/08/2024 03:47 PM

SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan Yasin, 48, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 Nov 2023.

Pelantun Mimpi Laila itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022.  

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin pada 29 Nov 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah dan memerintahkan lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Norsharidah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya didapati terkhilaf dalam membuat keputusan itu. 

Beliau berkata persoalan yang timbul adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony yang dikemukakan pihak pembelaan.

"Dalam kes ini, responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal menurut undang-undang).

"Justeru, beban untuk membuktikan responden tidak sempurna akal masih terletak pada pembelaan bagi mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden semasa kejadian," katanya.

Norsharidah berkata keterangan Dr Ian mengesahkan bahawa responden tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan namun merujuk kepada saksi-saksi pendakwaan, menunjukkan bahawa Yasin memang dengan sengaja melakukan perbuatan-perbuatan jenayah yang dituduh ke atasnya. 

Beliau berkata mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi pakar hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Katanya keterangan Dr Ian dan laporan psikiatri semata-mata tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Norsharidah berkata saksi pendakwaan ketujuh pakar bioteknologi tumbuhan Prof Dr S. Sreeramanan memaklumkan responden mempunyai pengetahuan berhubung penanaman ganja.

"Penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu tumbuh membesar menunjukkan responden tidak berada dalam keadaan tidak waras.

“Oleh itu, rayuan oleh perayu (pendakwaan) dibenarkan bagi keputusan di Mahkamah Sesyen dan tertuduh disabitkan bersalah seperti mana pertuduhan pindaan dihadapinya," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Penyanyi itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Ariff Azami ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan akan memasukkan notis rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu esok. 

"Keputusan hari ini, kita akur dan hormat dan Mahkamah Tinggi ada hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Kita ada satu lagi lapisan iaitu di Mahkamah Rayuan dan kita akan lawan di peringkat tersebut," katanya. 

Beliau turut berharap rawatan dan perubatan yang telah dijalani anak guamnya sebelum ini dapat diteruskan di Penjara Kajang.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan