EKONOMI

Malaysia Boleh Hasilkan Produk Kompetitif Dalam Industri Semikonduktor Di Peringkat Global - REFSA

23/08/2024 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Jurutera Malaysia boleh menghasilkan produk dan penyelesaian kejuruteraan kompetitif di peringkat global dan menguntungkan secara komersial dalam industri semikonduktor, kata Research for Social Advancement (REFSA).

Badan pemikir bukan berasakan keuntungan itu berkata perkara itu boleh dicapai dalam persekitaran yang betul di bawah bimbingan kepimpinan yang dinamik dan inovatif.

“Malaysia telah membina aset yang besar untuk mempertingkatkan ekosistem melalui pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tersedia untuk industri daripada seperti Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS), Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) ​​dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Untuk kekal berdaya saing, peningkatan berterusan dalam kualiti tenaga kerja adalah satu keperluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif REFSA Tan E Hun berkata Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan (NIMP) 2030 mempunyai peranan penting dalam menetapkan aktiviti khusus dalam rantaian nilai yang merupakan tumpuan Malaysia.

Beliau berkata pendekatan misi terkandung dalam NIMP 2030 menyediakan model untuk bekerja secara berpasukan dan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan, elemen kritikal untuk kejayaan terutamanya dalam konteks program GEAR-uP yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Pada 20 dan 21 Ogos lepas, REFSA menerusi sokongan Invest Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), menjadi tuan rumah lawatan sambil belajar semikonduktor yang memfokuskan kepada kilang dan penggiat industri di Selangor dan Negeri Sembilan.

Sepanjang dua hari itu, para peserta bertemu dengan lebih lapan pemain industri dan pemboleh ekosistem merentasi rantaian nilai semikonduktor merangkumi reka bentuk litar bersepadu (IC), fabrikasi wafer, ujian, pemasangan dan pembungkusan serta kejuruteraan ketepatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan