AM

Kamera Teleskopik Diguna Dalam Operasi SAR Malam Ini

30/08/2024 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos  (Bernama) - Kamera teleskopik dijangka digunakan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) malam ini dalam usaha mengesan mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Sumber berkata kamera itu mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera push rod dan crawler yang digunakan sebelum ini.

"Peralatan ini ditawarkan secara percuma oleh pihak swasta kepada pasukan SAR untuk membantu usaha SAR dan akan digunakan malam ini," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata penggunaan kamera itu akan membantu pasukan SAR melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan backlog.

Tinjauan Bernama mendapati jentera berat seperti kren berada di lokasi dipercayai untuk membantu usaha SAR yang kini masuk hari kelapan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad memaklumkan bahawa usaha SAR dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko.

Ia susulan faktor risiko yang dikenal pasti iaitu aliran air bawah tanah yang deras, ruang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah serta backlog yang keras di kawasan carian.

Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita warga India dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan