POLITIK

Tuduhan Dia Berkongsi Ideologi Dengan Chin Peng Adalah Fitnah - Lim Kit Siang

03/09/2024 11:28 PM

GEORGE TOWN, 3 Sept (Bernama) -- Ahli politik veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tuduhan dia dan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng berkongsi ideologi yang sama, adalah fitnah.

Lim berkata reputasinya dirosakkan dengan dakwaan Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad bahawa dia mempunyai kaitan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, yang menuduh dia ada kaitan dengan konspirasi untuk memusnahkan Malaysia.

Dalam soal balas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon, peguam Siti Mastura Yusfarizal Yussoff memberitahu Lim, adalah perkara biasa bagi ahli politik mempunyai ideologi dan pandangan politik yang berbeza.

Lim bersetuju, bagaimanapun dia memberitahu tidak perlu membuat tuduhan berunsur fitnah.

Apabila Yusfarizal menyatakan bahawa ideologi politik PAS adalah untuk menegakkan Islam dalam sistem demokrasi, Lim menjawab bahawa “kita semua menegakkan Islam” dan dia tidak mempunyai masalah dengan PAS yang mahu memperkenalkan undang-undang Syariah, selagi ia berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan.

Semasa soal balas ketua peguamnya Datuk Sankara Nair, Lim berkata beliau terkejut dan marah ketika mendengar dakwaan Siti Mastura terhadapnya buat pertama kali.

Lim berkata kenyataan yang dibuat itu adalah secara melulu tanpa disokong oleh bukti.

Sementara itu, Lim Guan Eng saksi kedua hari ini berkata beliau tersinggung dengan dakwaan Siti Mastura yang mendakwa keluarganya mempunyai kaitan dengan Chin Peng, kerana ini mempunyai implikasi yang besar.

Beliau juga berkata kenyataan Siti Mastura itu adalah serangan serampang dua mata yang pertama, mengaitkan keluarganya dengan ideologi komunisme dan kedua membayangkan keluarganya mempunyai “agenda Cina”.

“Kenyataan beliau berbahaya kerana PAS mempunyai ramai penyokong yang mungkin percaya dan mengulangi pembohongan ini,” kata Guan Eng.

Lim, anaknya Guan Eng dan Teresa Kok memfailkan saman itu berhubung ucapan Siti Mastura pada ceramah politik semasa kempen Pilihan Raya Kecil Kemaman, mengaitkan mereka dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya serta Lee dari Singapura.

Perbicaraan yang dijadualkan selama enam hari itu diteruskan pada 17 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan