BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

Pahang Beri Komitmen Tinggi Perkukuh Syiar Islam

05/09/2024 09:47 PM

KUANTAN, 5 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pahang memberikan komitmen tinggi terhadap usaha memperkukuhkan syiar Islam di negeri ini, sekali gus menepis dakwaan kerajaan negeri tidak melakukan sebarang pembangunan ke arah agenda berkenaan. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata usaha itu meliputi keseluruhan aspek dari sudut penggubalan undang-undang berkaitan agama Islam termasuk menghalang umat Islam murtad dan menghalang penyebaran ajaran sesat, menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Tadika Tahfiz serta Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS).

“Tadika Tahfiz Pahang bermula dengan satu cawangan pada 2018 sehingga berkembang kepada 25 cawangan pada hari ini. Malah, modul pendidikan tadika tahfiz ini telah diguna pakai 4,000 Tadika KEMAS di seluruh negara,” katanya dalam ucapan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang turut menepis satu laporan berita Harakahdaily pada 1 Sept lepas bertajuk ‘Agenda Islam di Pahang hanya PAS boleh diharap’, yang disifatkan membawa persepsi negatif seolah-olah kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa pembangunan langsung untuk mengukuhkan syiar Islam di Pahang.

“Kita boleh berbeza pandangan dalam berpolitik tetapi dalam soal agama, berpada-padalah bila mengatur bicara. Berjalan selangkah menghadap surut, berkata sepatah difikirkan.

“Ijtihad memenangkan agenda Islam kita mungkin berbeza, tetapi matlamat kita tetap sama,” katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berharap kelima-lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang mengangkat sumpah hari ini, dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab terutamanya dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini diberikan keutamaan.

“Kelima-lima ADUN lantikan ini akan melapor kepada saya berhubung gerak kerja dan khidmat bakti mereka kepada rakyat, agar ia dapat ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. 

Lima ADUN tersebut ialah Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, Ketua MCA Bahagian Temerloh Datuk Wong Tat Chee, Ketua UMNO Bahagian Jerantut Haris Salleh Hamzah, Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Rizal Jamin. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan