AM

RM267.76 Juta Untuk Projek Prasarana Awam, Rumah Ibadat Bukan Islam Di Johor

06/09/2024 02:19 PM

KOTA TINGGI, 6 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan RM267.76 juta bagi 40 projek prasarana awam serta pembaikan dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di Johor tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, RM264 juta juta diperuntukkan bagi 40 projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur awam, pembangunan, perumahan, landskap dan komuniti manakala lebih RM3.5 juta untuk penyelenggaraan 32 RIBI.

“Kita telah meluluskan peruntukan yang sangat besar untuk negeri Johor, sebanyak 40 projek prasarana awam telah pun saya bawa hari ini ke Johor berjumlah RM267 juta termasuk RM10 juta untuk pembinaan dan naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seperti di Kluang, Johor Bahru Sentral, Larkin, dan pembelian bangunan kediaman BBP Pagoh, Bandar Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Kunci Rumah Rakyat (RMR) di Felda Sungai Mas di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang.

Nga berkata KPKT juga telah meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menukar lif serta mengecat dan membaik pulih sistem perpaipan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kempas yang merangkumi 2,520 unit dengan jumlah penduduk lebih 10,000 orang.

Beliau berkata peruntukan disalurkan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT dalam menambah baik infrastruktur awam dapat terus dipertingkatkan termasuk di kawasan pembangkang, selain memastikan setiap projek memberi manfaat kepada komuniti sekali gus berdaya maju dari aspek ekonomi.

“Saya hendak tegaskan kawasan-kawasan pembangkang juga kita jaga atas prinsip tiada yang tertinggal, tiada terpinggir cuma kita tidak berikan peruntukan kepada mereka, namun kita salurkan peruntukan menerusi agensi kerajaan yang berwibawa,” katanya.

Sementara itu, lima pemohon RMR daripada Parlimen Kota Tinggi dan Pengerang menerima kunci rumah mereka pada program hari ini.

Setakat 31 Julai lepas, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) telah membina 7,909 unit di Johor, termasuk 324 unit di Parlimen Kota Tinggi dan 235 unit di Parlimen Pengerang sejak ia mula diperkenalkan pada 2002.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan